GEORGE TOWN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) termasuk di Pulau Pinang ketika bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, penggunaan logo PN itu telah dimuktamadkan dan tiada lagi perubahan mengenainya.
”Gerakan akan gunakan logo PN pada pilihan raya dan perkara ini sudah muktamad,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran Bilik Gerakan PN Parlimen Bayan Baru di sini hari ini.
Sebelum ini, Gerakan Pulau Pinang meminta Ahli Jawatankuasa Gerakan Pusat mempertimbang cadangan menggunakan logo sendiri pada PRU15 meskipun parti itu kini di bawah gabungan PN.
Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, perkara itu memandangkan pengundi di Pulau Pinang lebih mengenali logo parti tersebut memandangkan hampir 40 tahun pernah mentadbir di negeri ini.
Menurut Dominic, pihaknya mengakui sebelum ini terdapat pengundi yang tidak mengetahui parti itu telah keluar daripada Barisan Nasional (BN).
”Namun selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, kita dapati peratusan pengundi yang mengetahui kita sudah keluar daripada BN telah meningkat. Kita juga maklumkan kepada pengundi veteran yang mana kita sekarang berada di bawah gabungan PN,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, Gerakan akan bertanding di 18 kerusi Parlimen seluruh negara pada PRU15.
”Kerusi yang kita bertanding ini jumlahnya lebih daripada kerusi yang kita tandingi pada PRU14 yang mana ketika itu hanya 13 kerusi Parlimen. Kita akan umumkan senarai calon pada 30 Oktober ini di mana setiap negeri akan umumkan calon negeri masing-masing,” katanya.
Jelas beliau, Gerakan akan bertanding di lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang iaitu Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Tanjung dan Batu Kawan.
“Kita yakin boleh memberi saingan hebat kepada parti lain di kerusi yang kita tandingi ini dan saya juga berhasrat bertanding di Pulau Pinang, namun kerusi mana belum dapat didedahkan,” katanya. – UTUSAN