JOHOR BAHRU: Rakyat mahukan proses demokrasi berjalan secara matang dan bukannya budaya politik samseng terutama sekali di Johor menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, budaya politik lapuk dan samseng tidak wajar menjadi amalan mana-mana parti, baik kerajaan mahupun pembangkang.
“Berkempen dan raihlah undi rakyat secara berhemah. Jangan jadikan Johor seperti gelanggang sarkas. Kita seharusnya lebih baik daripada ini,” kata bekas Menteri Besar Johor itu dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, program Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang berlangsung di Dewan Yong Sheng, Muar malam tadi dicemari kekecohan apabila sekumpulan 30 individu yang memakai ‘hoodie’ dan pelitup muka bertindak membuat provokasi.
Kumpulan itu membaling botol, menolak sukarelawan dan anggota Muda, membaling mercun, menendang dan merosakkan kenderaan sambil menjerit dan meminta mereka yang datang berhenti dan meninggalkan dewan tersebut.
Dalam dua klip video berdurasi 15 dan 46 saat yang dimuat naik Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan sekumpulan lelaki itu melaungkan perkataan ‘balik’ sebagai provokasi terhadap tetamu dalam program berkenaan, namun tiada yang cedera. – UTUSAN