JERANTUT: Penyandang Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menentukan calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Beliau yang sinonim dengan panggilan Cikgu Lan berkata, tiada isu yang sepatutnya timbul kerana mana-mana calon khususnya kalangan orang muda dalam Jawatankuasa UMNO bahagian boleh mengambil alih tugas kepemimpinan di sini pada masa akan datang.
“Saya serahkan kedudukan ini (sebagai calon Parlimen) kepada pucuk pimpinan UMNO Pusat dan sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Jika dicalonkan, saya perlu berbincang semula dengan pucuk pimpinan UMNO kerana saya ingin menjaga hati pengundi yang hendakkan calon tertentu dan semua pihak pada PRU15,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kasih Suri Keluarga Malaysia (I-SURI) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Perumahan Kos Rendah 410, bandar Jerantut, di sini hari ini.
Ahmad Nazlan berkata, setelah dua penggal sebagai Ahli Parlimen, sudah tentu meninggalkan kudis dan kecacatan yang nampak dalam kalangan pengundi dan kemungkinan mahukan perubahan calon tertentu.
Cikgu Lan juga berterima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah yang menyatakan beliau layak terus bertanding di kerusi Parlimen itu kerana merupakan calon boleh menang.
“Di Parlimen Jerantut, semua calon yang diangkat merupakan mereka yang layak khususnya kalangan tokoh muda yang berketerampilan dan berpengetahuan mampu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengundi.
“Sekiranya kita sentiasa (berterusan) duduk di sini (Parlimen) bila lagi orang muda hendak mengisi tempat ini atau mewakili Jerantut mengambil tempat (duduk) di Parlimen,” katanya.
Ahmad Nazlan yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkata, beliau bersedia membantu mana-mana calon yang dipilih termasuk selepas PRU15 khususnya untuk pembangunan di Jerantut.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya calon yang dipilih UMNO untuk kerusi Parlimen Jerantut mesti anak tempatan yang duduk di daerah ini bukan menetap di Kuala Lumpur dan jarang bertemu dengan rakyat. – UTUSAN