KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) mewajibkan semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk melafaz ikrar dan menandatangani surat akujanji melawan rasuah.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lafaz ikrar yang dibuat atas nama Allah itu telah dilaksanakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.
Menurutnya, perkara tersebut memperlihatkan kesungguhan dan komitmen parti dalam melawan rasuah selain membentuk sebuah kerajaan yang bersih.
“Kita tidak mahu ada calon yang melanggar akta yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Alhamdulillah, PN merupakan gabungan tunggal di negara ini yang berbuat demikian. Hal ini merupakan salah satu janji PN dalam memastikan semua calon mempunyai intergriti yang tinggi,” katanya semasa sidang akhbar pada Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin memberitahu, untuk PRU15 kali ini semua calon PN yang bertanding akan diumumkan mengikut negeri masing-masing.
Katanya, pengumuman calon secara berpusat tidak akan dilaksanakan kerana PN mahu rakyat dapat mengenali calon-calon yang akan bertanding di kawasan mereka secara lebih dekat.
“Mengenai 27 kerusi panas, agihan telah selesai akan kita akan letakan semua calon di kawasan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN