SUNGAI SIPUT: MIC sudah memuktamadkan calon yang bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Tan Sri S A Vickneswaran.
Menurut Presiden MIC itu, calon-calon yang dikemukakan ini adalah individu yang telah bekerja dan menyelaras kawasan berkenaan.
Malah katanya, kesemua calon melalui tapisan ketat bagi memastikan hanya mereka yang mampu menang diketengahkan bagi mewakili parti.
“Senarai nama calon akan diumumkan secara rasmi oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Calon-calon yang kita kemukakan ini asdalah individu yang telah bekerja dan menyelaras kawasan berkenaan.
“Kita juga telah menapis beberapa calon yang mempunyai kontroversi bagi memastikan kemenangan,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali 2022 di Dewan Konvensyen Tun Samy Vellu, di sini hari ini.
Vikneswaran berkata, MIC lebih realistik dalam menentukan kerusi yang akan ditandingi pada PRU-15.
Menurutnya, parti itu tidak akan sewenang-wenangnya meminta lebih kerusi untuk ditandingi jika tidak ada potensi bagi memenangi kerusi tersebut.
“Sudah tentu kita akan kekalkan kerusi tradisi dan mengharapkan ada kerusi tambahan untuk ditandingi. Tetapi permintaan itu mestilah kerusi-kerusi yang boleh kita menangi,” katanya. – UTUSAN