IPOH: Amanah Perak mengumumkan senarai calon parti itu yang bertanding di Parlimen dan Dewan Udangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tanpa nama anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar Nik Aziz.
Sebelum ini, Nik Omar antara nama yang diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding mewakili PH di Perak.
Dalam sidang akhbar di sini hari ini, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi mengumumkan nama calon dari parti itu yang bertanding di enam Parlimen dan 20 DUN.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusuf kekal mempertahan Parlimen Parit Buntar manakala penyandang, Datuk Mohd. Hatta Md Ramli kekal dicalonkan di Parlimen Lumut.
Asmuni kekal bertanding di kerusi DUN Manjoi.
Asmuni yang ditanya mengenai ketiadaan nama Nik Omar yang dikatakan akan bertanding di Perak, berkata, beliau tiada maklumat mengenai perkara itu.
Beliau juga tiada maklumat sama ada Nik Omar akan bertanding atas tiket Amanah atau PKR.
“Itu saya tak tahulah, itu nasional punya isu. Saya tak ada maklumat mengenai dia. Anda boleh tanya dia sendiri,” katanya.
Pada PRU14, Nik Omar bertanding di DUN Chempaka di bawah Parlimen Pengkalan Chepa atas tiket Amanah.
Berikutan ketiadaan nama beliau pada pengumuman senarai calon Amanah Perak hari ini, dikatakan Nik Omar akan bertanding atas tiket PKR di Perak.
Setakat ini PKR Perak belum mengumumkan senarai calon.
Berikut adalah senarai calon Parlimen dan DUN Amanah Perak:
PARLIMEN
P56 Larut: Zolkarnain Abidin
P57 Parit Buntar: Mujahid Yusuf
P59 Bukit Gantang: Fakhruldin Mohd Hashim
P67 Kuala Kangsar: Ahmad Termizi Ramli
P69 Parit: Nurthaqaffah Nordin
P74 Lumut: Mohd Hatta Md Ramli
DUN
N01 Pengkalan Hulu: Mohd Saad Ismail
N04 Kota Tampan: Mohd Sabri Abdul Manaf
N05 Selama: Razali Ismail
N06 Kubu Gajah: Mohd Nazri Din
N08 Titi Serong: Muhammad Nakhaie Wahab
N11 Gunung Semanggol: Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar
N12 Selinsing: Ahmad Saqif Ansarallah Ahmad Jihbaz Mokhlis
N14 Changkat Jering: Megat Shariffudin Ibrahim
N16 Kamunting: Muhd Fadhil Nuruddin
N20 Lubok Merbau: Zaiton Latiff
N23 Manjoi: Asmuni Awi
N35 Manong: Mohd Jamsari Mahamood
N39 Belanja: Mohd Ikhmal Mohd Iskandar
N44 Sungai Rapat: Mohammad Nizar Jamaluddin
N48 Ayer Kuning: Mohd Nazri Hashim
N50 Kampong Gajah: Mohd Syamsul Alauddin
N51 Pasir Panjang: Yahaya Mat Nor
N53 Rungkup: Ahmad Munzirie Ahmad Kabir
N56 Changkat: Jong Muhaimin Sulam
N59 Behrang: Khairol Najib Hashim
– UTUSAN