PRU15: Amanah-DAP berebut kerusi DUN Changkat Jong

PRU15: Amanah-DAP berebut kerusi DUN Changkat Jong

ANTHONY  Loke dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: DAP dan Amanah bertelagah mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong di bawah Parlimen Teluk Intan apabila kedua-dua parti mengumumkan calon masing-masing bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi itu semalam.

Terdahulu, Amanah mengumumkan Dr. Muhaimin Sulam sebagai calonnya di DUN itu.

Namun pada majlis pengumuman calon DAP malam tadi, parti itu mengumumkan Badrul Hisham Badarudin sebagai calon di kerusi yang sama.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke  Siew Fook berkata, tiada pertembungan kerusi di DUN berkenaan kerana kerusi tersebut diberikan kepada DAP untuk ditandingi seperti mana dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Katanya, keputusan meletakkan calon daripada DAP telah diketahui sebelum Konvensyen PH berlangsung di Ipoh, Khamis lalu.

“Ini keputusan yang telah dicapai secara konsensus di peringkat kepemimpinan tertinggi Majlis Presiden melibatkan saya sendiri bersama Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dengan disaksikan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita telah mengadakan mesyuarat dan persetujuan telah pun dicapai sebelum Konvensyen PH di Ipoh diadakan.

“Kita bukannya mengumumkan sesuatu yang belum ada keputusan, malam ini saya sebagai Setiausaha Agung DAP apabila saya sampai dan datang ke majlis ini, sudah tentu keputusan (calon) itu telah dimuktamadkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan calon DAP Perak bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya sama ada akan ada perjumpaan semula antara dua parti berkaitan perkara itu, beliau berkata, ia akan diselesaikan sesama parti komponen.

“Apa yang diumumkan (Amanah) adalah di peringkat negeri, tapi keputusannya adalah di peringkat tiga kepimpinan tertinggi. Surat watikah akan diselaraskan di peringkat pusat.

“Tiada soal pertembungan antara DAP dan Amanah kerana hanya satu parti sahaja di setiap kawasan yang kita tandingi. Saya rasa itu mungkin salah faham yang boleh diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya