PRU15: Ahli Pas diingatkan tidak persoal calon, kawasan ditandingi parti - Utusan Malaysia

PRU15: Ahli Pas diingatkan tidak persoal calon, kawasan ditandingi parti

SEBAHAGIAN ahli Pemuda Pas yang hadir pada Ijtimak Tarbawi 8.0 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas di Besut, Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Ahli Pas di semua peringkat diingatkan supaya tidak mempersoal calon yang dipilih dan kawasan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ahli Pas perlu patuh terhadap setiap keputusan parti dalam memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum itu.

Malah katanya, beliau bimbang terdapat dalam kalangan ahli bertindak menyerang sesama sendiri menjelang PRU15 setelah tidak berpuas hati terhadap keputusan parti.

“Apa yang kita bimbang, bila berlakunya pilihan raya, kita sibuk untuk menyerang sesama sendiri. Yang tak puas hati tolong tolak ke tepi.

“Akur kepada arahan pimpinan. Tak kira siapa yang bertanding, mungkin kita balik kawasan, kita nak calon kita bertanding. Kita nak parti kita bertanding. Rundingan sedang dijalankan, kita nak lawan siapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ijtimak Tarbawi 8.0 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas di sini hari ini.

Selain itu Ahmad Fadhli memberitahu, Dewan Pemuda Pas juga telah bersiap sedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa sahaja.

Menurutnya, berdasarkan isyarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO semalam, menunjukkan UMMO bersetuju pembubaran Parlimen dilakukan segera.

“Pas sudah bersedia (PRU15) pada tingkat yang tertinggi. Amaran ataupun suatu signal daripada mesyuarat Majlis Kerja Tinggi UMNO semalam yang telah pun diisytiharkan secara terbuka bahawa mereka telah bersetuju, pembubaran Parlimen akan diadakan pada seberapa segera.

“Isyarat-isyarat seperti ini yang umpama satu pengisytiharan perang bahawa tidak ada masa lagi untuk kita balik untuk tidur lena di rumah masing-masing. Ini isyarat kepada kita,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya