PETALING JAYA: Parti-parti politik Melayu perlu bersepakat menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) supaya dapat mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan inklusif yang bertunjangkan parti yang mewakili majoriti kaum di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Sektor Politik Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, ia bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri sehingga menyebabkan undi Melayu berpecah.
Beliau yang juga bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, ini kerana pengundi bukan Melayu yang akan menentukan kemenangan sesebuah parti itu yang mana mereka merangkumi antara 10 hingga 15 peratus pengundi di setiap kawasan.
“Dalam PRU-15, lebih kurang 12 juta daripada 21.2 juta pengundi adalah pengundi Melayu, jadi kalau mereka tak duduk semeja berbincang, maka undi Melayu berpecah empat penjuru dan yang akan tentukan parti mana yang menang adalah pengundi bukan Melayu.
“Melihat kepada senario politik masa kini, sudah tentu pengundi bukan Melayu akan menyokong calon Pakatan Harapan (PH) sebab sejak PRU-14 lagi mereka adalah pengundi DAP, jadi mereka tentunya menyokong calon PH yang bersekutu dengan parti itu.
“Apabila PH menang, maknanya DAP menang, jadi (kena ingat) yang DAP adalah parti yang tidak bersetuju dengan agenda pemerkasaan politik Melayu. Saya juga masih lagi melihat DAP sebagai parti yang memrpejuangkan kepentingan kaum Cina, masih tidak keluar daripada pendirian lama iaitu Malaysian Malaysia dan sejak dulu lagi parti yang menjadi musuh kepada parti besar Melayu.
“Walaupun Pas pernah berkawan dengan DAP, mereka akhirnya keluar dan tidak sanggup bekerjasama, maka tentu ada rahsia di sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jelas Wan Ahmad, UMNO dan Pas perlu memainkan peranan melalui semangat Muafakat Nasional (MN) untuk mengelakkan perpecahan dalam kalangan undi Melayu sekurang-kurangnya 30 kerusi.
Katanya, ini kerana kedua-dua parti itu merupakan parti terbesar yang mewakili kaum majoriti di negara.
“Walaupun Pas pernah berkawan dengan DAP, mereka akhirnya keluar dan tidak sanggup bekerjasama, maka tentu ada rahsia di sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jelas Wan Ahmad, UMNO dan Pas perlu memainkan peranan melalui semangat Muafakat Nasional (MN) untuk mengelakkan perpecahan dalam kalangan undi Melayu sekurang-kurangnya 30 kerusi.
Katanya, ini kerana kedua-dua parti itu merupakan parti terbesar yang mewakili kaum majoriti di negara ini berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dianggap hanya parti serpihan daripada kedua-dua parti itu.
“Parti Melayu belum terlewat cari kesepakatan supaya elakkan pertembungan sesama mereka terutama sekali UMNO dengan Pas. Mengikut bacaan saya berasaskan landskap politik negara kini, 100 kerusi dijamin dalam tangan parti besar Melayu jika UMNO dan Pas duduk bersama dalam PRU15. Parti-parti lain boleh diundang bersama, maka wujud sebuah gabungan inklusif.
“Kita mahu dua pertiga majoriti adalah ahli Parlimen Melayu kerana mereka ini akan mempertahankan semangat Perlembagaan dan tidak ada siapa yang boleh mencabar hak keistimewaan Melayu seperti dibangkitkan DAP
“Jadi (UMNO dan Pas boleh mengambil) semangat gabungan kerajaan inklusif seperti mana Barisan Nasional (BN) yang diwujudkan (bekas Perdana Menteri) Tun Abdul Razak Hussein yang menjemput 12 parti kecil boleh dicontohi,” ujarnya.
Beliau menambah, pengundi juga perlu menilai bagaimana keadaan dihadapi negara apabila kerajaan gabungan BN yang bertunjangkan parti majoriti kaum Melayu jatuh.
Katanya, situasi negara ketika itu jelas terumbang ambing, berlaku pergeseran politik yang berterusan sehingga menjejaskan kestabilan negara berbanding berpuluh tahun sebelum ini yang diketuai parti majoriti kaum di negara ini.
“Pengalaman 22 bulan pemerintahan PH sudah menunjukkan bahawa pakej ditunjangi DAP tidak sesuai di negara ini. Apabila kerajaan teguh, aman dan harmoni, maka Malaysia jadi sebuah negara stabil dan itu akan jadi tarikan kepada pelabur asing untuk kembali.
“Justeru, saya mengharapkan Muafakat Nasional (MN) dapat dihidupkan kembali antara UMNO dan Pas, manakala parti serpihan Bersatu serta Amanah patut kembali ke parti asal masing-masing. Pejuang pun patut kembali kepada UMNO kerana Gerakan Tanah Air (GTA) adalah sebuah gabungan politik yang hanya ditubuh untuk mencapai cita-cita politik (bekas Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Kalau parti Melayu masih berjuang secara berasingan undi Melayu akan berpecah teruk dan tidak ada siapa yang akan untung. Saya harap mereka ni masih ada semangat mn dan apabila parti umno dan pas menang besar untuk tubuhkan kerajaan gabungan inklusif PRU15 mereka patut jemput parti-parti kecil untuk sertai mereka.
“Namun, DAP dan PKR tidak sesuai berada dalam gabungan parti berteras semangat Melayu, lebih sesuai sebagai gabungan pembangkang yang kuat. Mereka boleh memainkan peranan baik untuk semak imbang sistem demokrasi, tetapi bukan sebagai kerajaan,” jelasnya.- UTUSAN