KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan 23 daripada 25 kerusi Parlimen yang ditandingi di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Hari ini, Pengerusi PH Sabah, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengumumkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di 10 kerusi Parlimen manakala, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing mengumumkan calon yang akan mewakili PH Sabah.
Anwar mengumumkan 10 calon PKR yang bertanding di Sabah ialah Thonny Chee (Kudat), Madeli @ Madily Bangali (Kota Belud), Mustapha Sakmud (Sepanggar), Awang Hussaini Ahmad Sahari (Putatan), Dikin Musah (Beaufort), Taufik Dahlan (Ranau), Sangkar Rasam (Pensiangan), Arastam Pandorog (Semporna), Datuk Christina Liew (Tawau) dan Noraini Abd Ghapur (Kalabakan).
Beliau berkata, calon bagi kerusi Parlimen Labuan masih belum diumumkan susulan perbincangan saat akhir yang dilakukan bersama Parti Amanah Nasional (Amanah) hari ini.
Anwar berkata, nama bagi kerusi Parlimen Kinabatangan juga belum diumumkan susulan perubahan yang berlaku.
Kerusi Parlimen Sipitang akan ditandingi oleh Amanah dan pengumuman dijangka akan dibuat malam ini.
Sementara itu, dalam majlis berasingan, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon mengumumkan tujuh calon DAP yang akan bertanding di Sabah pada PRU-15.
Tiga kerusi Parlimen yang kini disandang oleh pemimpin DAP dikekalkan iaitu Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Noorita Sual (Tenom) dan Vivian Wong Shir Yee (Sandakan).
Empat calon lain yang bertanding ialah Henry Shim (Papar), Grelydia Gillod (Keningau), Liau Fui Fui (Batu Sapi) dan Oscar Sia Yu Hock (Lahad Datu).
Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengumumkan lima calon UPKO yang bertanding pada pilihan raya ini.
Selaku penyandang kerusi Parlimen Tuaran, Madius akan mempertahankan kerusi tersebut.
Empat calon lain yang mewakili UPKO ialah Datuk Ewon Benedick (Penampang), Rowindy Lawrence (Kimanis), Felix Joseph Saang (Beluran) dan Dr. Peter Jr Naintin (Libaran).
Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz pula mengumukan Shahrizal Denci sebagai calon tunggal yang mewakili parti itu di Parlimen Kota Marudu.- UTUSAN