PRU-15: Dua atau tiga jawatan TPM sekadar janji politik

PRU-15: Dua atau tiga jawatan TPM sekadar janji politik

MOHD. Amar Nik Abdullah (dua dari kanan) ketika menyampaikan anugerah kepada pemenang-pemenang dalam kalangan belia pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2022 di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Pas menganggap cadangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mewujudkan dua atau tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk dimuatkan ke dalam manifesto pilihan raya masing-masing tidak lebih daripada sebuah janji politik.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sudah menjadi kebiasaan orang-orang politik untuk menaburkan pelbagai janji apabila tiba musim pilihan raya.

Menurutnya, rakyat perlu melihat sama ada janji berkenaan realistik atau sebaliknya selain perlu menilai sama ada ia praktikal untuk dilaksanakan.

“Isu paling besar bukan melantik TPM dari Sabah dan Sarawak kerana yang penting adalah layanan Kerajaan Persekutuan kepada kedua-dua negeri itu termasuk soal peruntukan.

“Ia merupakan isu yang dibangkitkan oleh rakyat di Sabah dan Sarawak. Saya rasa, sekiranya kita lantik TPM tetapi layanan sepatutnya tidak diberikan maka ia tetap tidak bermakna,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2022 di sebuah hotel di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan jawatan TPM dipegang tiga individu berbeza berasal dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung jika BN menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengumumkan dua jawatan TPM iaitu membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak sekiranya pakatan itu berjaya ke Putrajaya selepas PRU15.

Mohd. Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor menjelaskan, isu yang lebih penting adalah polisi Kerajaan Pusat dengan Sabah dan Sarawak terutamanya keadilan pengagihan peruntukan.

Katanya, sebelum ini, bukan hanya Sabah dan Sarawak tidak mendapat layanan adil, Kelantan juga diketepikan dengan banyak peruntukan disekat malah dilewat-lewatkan.

“Dalam setahun dua ini sahaja hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat dilihat agak baik. Jadi, bagi saya ia sebenarnya soal sikap dan bukan jawatan TPM,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya