KOTA KINABALU: Petani moden, Shahrizal Denci, 40, diumumkan sebagai satu-satu calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, Muda meletakkan satu-satunya calon di Sabah yang akan bertanding di Parlimen Kota Marudu yang kini disandang Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr, Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
Pencalonan ini selaras dengan usaha Muda untuk menampilkan wakil yang dekat dan faham tentang isu-isu rakyat.
Beliau berkata, fokus Muda pada pilihan raya kali ini adalah memastikan Malaysia kembali menjadi negara yang maju dan berjaya.
Shahrizal yang juga Naib Presiden Muda itu berkata, biarpun bukan anak jati Kota Marudu namun, beliau yakin gerak kerja yang dilakukan dalam membantu mangsa banjir dan mangsa terjejas Covid-19 akan membolehkan penduduk Kota Marudu mengenalinya.
“Penerimaan terhadap Muda agak positif sebab kita bukan baharu di sana. Banyak program yang telah kita buat seperti menghantar bantuan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai.
“Orang mula sedar tentang keperluan seorang pemimpin yang boleh buat kerja di lapangan.
“Banyak perkara yang kita ingin lakukan di Kota Marudu iaitu kawasan yang dahulu terkenal dengan Pesta Jagung tapi sekarang tiada sudah jagung.
“Separuh populasi di Kota Marudu adalah petani tapi, tiada yang memahami potensi yang ada di kawasan ini. Sekiranya kita tidak perkasakan petani tempatan bagaimana kita mahu perkasakan keselamatan makanan di negeri ini,” katanya.
Shahrizal berkata, sudah tiba masanya untuk golongan petani diangkat menjadi pemimpin agar lebih memahami masalah petani di lapangan. –UTUSAN