PRU-15: Annuar mahu kekal di Ketereh

PRU-15: Annuar mahu kekal di Ketereh

ANNUAR Musa (dua kiri) semasa memeriksa tanda harga pada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) Melor di Gudang Panji Makmur Trading di Melor, Kelantan hari ini.UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mahu mengekalkan prinsipnya untuk tidak bertanding di tempat lain selain Ketereh jika ditawarkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu, beliau tetap memilih untuk menawarkan diri dan berkhidmat di tempat kelahirannya sendiri malah tidak berpindah meskipun berdepan kekalahan pada pilihan raya sebelum ini

“Saya sudah buat keputusan untuk tidak mahu bertanding di tempat lain sejak daripada dahulu lagi. Prinsip saya adalah untuk memberi khidmat kepada tempat saya dilahirkan.

“Sekiranya mahu bertanding di Kuala Lumpur atau bertanding di kampung isteri, itu bukan prinsip saya. Ketika saya kalah pun saya tidak berminat (berpindah kawasan),” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Gudang Panji Makmur Trading, Melor di sini hari ini.

Annuar memberitahu, beliau tidak faham dengan tindakan setengah orang yang mengambil pendekatan untuk berpindah setiap penggal.

“Saya tidak faham keadaan politik sekarang apabila ada yang berpindah-randah (lokasi bertanding). Saya yang sudah duduk di sini beberapa penggal pun tidak cukup tangan untuk membantu rakyat.

“Saya tidak tahu macam mana cara mereka. Itu cara politik masing-masing” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN