KUALA LUMPUR: Kadar tol bagi empat lebuh raya di bawah pengendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) dikurangkan antara lapan dan 15 peratus bermula Khamis (20 Oktober, 12.01 tengah malam).
Empat lebuh raya itu adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
Prolintas memaklumkan, pengurangan kadar tol itu membabitkan kenderaan kelas satu, kelas empat dan kelas lima.
Walau bagaimanapun, bagi kenderaan kelas dua dan kelas tiga kecuali bas, kadar tolnya tidak berubah.
“Pengurangan kadar tol ini membabitkan kenderaan kelas satu (kenderaan yang mempunyai dua gandar contohnya kereta penumpang dan tiga atau empat roda, kecuali teksi dan bas), kelas empat (teksi) dan kelas lima (bas) di empat lebuh raya terlibat.
“Bagi kenderaan kelas dua (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda, kecuali bas) dan kelas tiga (kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih, kecuali bas), kadar tol adalah tidak berubah,” jelasnya dalam kenyataan.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan bersetuju menstruktur semula empat syarikat konsesi lebuh raya di bawah kendalian Prolintas bagi mengurangkan kadar tol di lebuh raya itu berkuat kuasa 20 Oktober.
Prolintas berkata, mereka akan terus melakukan yang terbaik dalam menggalas tanggungjawab menyediakan perkhidmatan terbaik setiap masa kepada pengguna.
“Prolintas komited untuk menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang terbaik pada setiap masa termasuklah dari aspek operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sehinggalah pengalaman perjalanan semua pelanggan di semua lebuh raya kendalian kami.
“Pihak syarikat juga akan terus menyokong usaha-usaha kerajaan yang boleh memberi manfaat dan impak positif kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, penurunan kadar tol ini menandakan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat yang berhadapan dengan masalah kenaikan kos sara hidup.
Berikut adalah kadar tol baharu: