JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) telah mengarahkan agar projek pembinaan rumah mayat swasta di Jalan Bakawali, Taman Johor Jaya di sini, dihentikan serta-merta.
Pihak berkuasa tempatan berkenaan dalam satu kenyataan memberitahu, surat perintah henti kerja akan dikeluarkan pihaknya kepada pemandu projek dalam minggu ini.
“MBJB belum menerima sebarang permohonan bagi mendapatkan permit pembinaan projek rumah mayat tersebut daripada pemaju.
“Oleh itu, mereka dikehendaki menghentikan semua aktiviti pembinaan serta-merta sehingga permohonan dibuat untuk MBJB melakukan semakan pelan dan dokumen berkaitan,” jelas pihak berkuasa tempatan itu.
Pada 29 September lalu, penduduk di Jalan Bakawali, Johor Jaya mengadakan perhimpunan aman bagi membantah pembinaan rumah mayat itu yang berjarak hanya kira-kira 3 meter daripada kediaman penduduk.
Seorang penduduk, Syafiq Asyraf Ahmad, 29, memberitahu, kewujudan rumah mayat berkenaan akan turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk Melayu di kawasan tersebut.
“Saya tidak mahu menimbulkan apa-apa isu kerana percaya masyarakat Malaysia pelbagai kaum perlu menghormati satu sama lain, namun adalah tidak wajar untuk satu rumah mayat dibina berhampiran kawasan kediaman penduduk.
“Kawasan perumahan ini bukan sahaja menempatkan masyarakat Tionghua tetapi juga orang Melayu dan India. Saya juga bimbang sekiranya asap yang terhasil akan masuk ke kediaman penduduk, sekiranya itu berlaku bagaimana pula dengan urusan ibadat kami,” soalnya.
Seorang lagi penduduk, Mark Lee, 43, pula memberitahu, projek berkenaan telah mula dibangunkan sejak enam bulan lalu namun sehingga kini tiada sebarang papan tanda pemakluman projek dipamerkan.
“Sebelum ini, kawasan ini adalah gudang menyimpan dan membaiki kenderaan berat, sebelum dikhabarkan ia bakal dibangunkan sebagai sebuah kawasan perumahan kos rendah, namun projek berkenaan terhenti.
“Tetapi kini kerja-kerja pembinaan telah berjalan bagi pembinaan sebuah rumah mayat masyarakat Tionghua. Masalah yang kami hadapi adalah ia dibina berhampiran dengan kawasan perumahan penduduk.
“Jadi persoalan kami, bagaimana projek besar seperti ini boleh dilaksana sedangkan pemaju difahamkan masih belum mempunyai kelulusan PBT,” katanya yang bekerja sebagai seorang pemandu e-hailing. – UTUSAN