GOPENG: Negeri Perak melihat hutan mempunyai banyak fungsi yang boleh dimanfaatkan antaranya termasuklah untuk tujuan pendidikan, penyertaan dan kesedaran serta komunikasi justeru program penanaman perlu diperhebatkan supaya khazanah tersebuit tidak pupus.
Menteri Besar Datuk Saarani Muhamamd berkata, hutan merupakan khazanah negara yang penting dalam menjamin kestabilan ekosistem dan berkait rapat dengan pembangunan sosioekonomi negara dan perlu diuruskan secara berkekalan.
Katanya, hingga September lalu, sebanyak 1.37 juta pokok berjaya ditanam di seluruh negeri.
“Kejayaan ini dicapai hasil pelbagai program penanaman pokok termasuk komunikasi , pendidikan , penyertan dan kesedaran (CEPA) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak bersama pihak-pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar dan orang awam,” katanya.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan sambutan tersebut Keberangkatan baginda yang ditemani Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Beliau berkata, sambutan yang bertemakan ‘Hutan untuk Kesejahteraan Masyarakat’ bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pelbagai jenis hutan serta pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.
Menurutnya, pada masa sama, Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah mengklasifikasikan sejumlah 485,613 hektar daripada kawasan Hutan Simpanan Kekal sebagai Hutan Perlindungan dan 295,400 hektar daripadanya adalah sebagai Hutan Tadahan Air.
“Fungsi kelas hutan sebagai perlindungan, ini mengukuhkan lagi jumlah kawasan berhutan di Negeri Perak yang terus dipelihara dan dilindungi,” katanya
Pada program itu, Sultan Nazrin berkenan menyerahkan anak pokok kepada Pegawai Daerah dan Tanah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dan Pengurus The Treasure@ Taman Herba Gopeng, Eidia Erriany Abdul Rahim.
Baginda turut berkenan menyampaikan sijil penghargaan sumbangan penanaman pokok kepada Pengurus Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Yahanis Yahya dan Pengurus Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ishak Abdul Rahman.
Sultan Nazrin berkenan melakukan penanaman pokok dan lawatan ke pameran serta jamuan santapan. – UTUSAN