Program Muda kecoh lagi

Program Muda kecoh lagi

MUDA mendakwa sekumpulan lelaki menimbulkan kekecohan semasa program parti itu di Muar, Johor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Program Malam Mesra Muo anjuran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dicemari insiden provokasi buat kali kedua dalam tempoh seminggu, kali ini lebih agresif sehingga menyebabkan pemimpin tertinggi parti itu mengalami kecederaan dan beberapa kenderaan dirosakkan.

Acara pengumpulan dana parti Muda yang diadakan di Jalan Bakri, di sini malam tadi menjadi kecoh apabila kira-kira 30 lelaki yang memakai hoodie dan pelitup muka membuat kacau di lokasi tersebut.

Pengerusi Muda Johor, Azrol Rahani berkata, dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, kumpulan tersebut mengganggu perjalanan majlis apabila cuba memasuki dewan berkenaan. 

Apabila disekat, kumpulan lelaki tersebut mula berteriak ke arah penganjur program dengan mengarahkan program kutipan dana yang dihadiri Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu dihentikan dan segera meninggalkan tempat itu.

“Mereka mula melakukan kekacauan dengan membaling botol, menolak sukarelawan dan anggota Muda, membaling mercun serta menendang merosakkan kenderaan sebelum meninggalkan tempat itu. 

“Kesemua mereka yang mengenakan hoodie dan memakai pelitup muka. Bagaimanapun kami sempat merakam gambar mereka untuk diserahkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam kejadian itu, Pengerusi Muda Sabah, Amos Thien mengalami cedera ringan akibat terjatuh mengelak mercun yang dibaling kumpulan tersebut.

Antara kereta yang dirosakkan ialah kereta Honda City milik pengasas bersama Muda, Lim Wei Jiet.

Syed Saddiq turut memuat naik dua klip video berdurasi 15 dan 46 saat dalam laman sosialnya menunjukkan sekumpulan lelaki berbaju hitam memakai pelitup hidung dan mulut melaungkan perkatan ‘balik’ sebagai provokasi terhadap tetamu yang hadir pada program berkenaan.

Ahad lalu, ceramah Mega Muar yang dianjurkan Muda di Parit Jawa turut dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki bermotosikal.

Difahamkan, polis  menahan tiga individu ketika mereka cuba untuk memasuki kawasan tersebut kali kedua bagi mengganggu perjalanan majlis. 

Azrol menambah, pihak penganjur turut sempat merekodkan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan kumpulan terbabit. 

“Kita akan membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan yang berlaku ini. Segala bukti yang kami ada supaya akan diberikan kepada polis bagi membolehkan siasatan dilakukan. Dalang politik kotor ini mesti ditangkap! Ini negara demokrasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya