ALOR SETAR: Pesawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik keputusan kerajaan memberikan bantuan RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan pada setiap musim menanam padi kepada golongan pesawah seperti diumumkan dalam Bajet 2023, Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mada, Ishak Taib berkata, langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan kepada golongan pesawah yang juga perlu diberi perhatian.
Katanya, selain bantuan subsidi dalam meningkatkan hasil padi, kerajaan juga dilihat mengambil berat terhadap usaha meningkatkan sosio ekonomi pesawah.
“Bantuan diberikan ini secara tidak langsung dapat meringankan beban golongan pesawah sementara menanti hasil tuaian padi, sekali gus memberikan kehidupan lebih berkualiti kepada keluarga pesawah di kawasan Muda.
“Bantuan itu juga dapat meningkatkan penyertaan anak-anak muda dalam bidang pertanian kerana golongan belia kini mengetahui kemudahan serta tawaran diberikan kerajaan kepada golongan pesawah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 berkata, bantuan kepada pesawah padi diperkenalkan semula tahun depan dengan memberi bantuan RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim kepada 240,000 pesawah membabitkan peruntukan sebanyak RM228 juta.
Selain itu, Tengku Zafrul mengumumkan, kerajaan juga memperuntukkan RM1.8 bilion untuk menyediakan pelbagai subsidi dan insentif merangkumi harga, baja, benih padi sah, baja padi huma dan insentif pengeluaran padi serta insentif tangkapan hasil nelayan.
Mengulas lanjut Ishak berkata, peruntukan RM1.8 bilion itu yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM100 juta berbanding sebelum ini menunjukkan betapa kerajaan sentiasa memastikan kebajikan serta sokongan berterusan kepada pesawah.
“Skim Perlindungan Pertanian diumumkan kerajaan melalui Bajet 2023 bagi melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak bermula dengan pesawah padi turut disambut baik.
“Kalangan pesawah di Kawasan Muda beriltizam untuk memastikan pengeluaran padi negara dapat dicapai dan berterima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan menyalurkan pelbagai bantuan bagi memastikan kebajikan golongan pesawah terbela,” katanya. –UTUSAN