Politik Dr. M-Anwar tidak berkisar kepentingan rakyat - Mahdzir

Politik Dr. Mahathir-Anwar tidak berkisar kepentingan rakyat – Mahdzir

MAHDZIR Khalid menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Program CSR Pendidikan YPM Daerah Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Padang Terap, Kedah. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini tidak sewajarnya berkisar mengenai percaturan politik Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan PRU15 kali ini membawa agenda lebih besar berbanding rencana politik kedua-dua individu itu kerana ia sepatutnya melibatkan pembinaan negara.

“Saya tak fikir naratif politik kedua-dua mereka itu berkisar mengenai rakyat. Persetujuan mereka untuk bertemu dan berbincang ini hanyalah atas dasar politik semata-mata. 

“Untuk menang, macam-macam strategi serta perkara teknikal akan dibuat termasuk berkawan dengan sesiapa saja asalkan menang pilihan raya. Saya tak fikir naratif mereka ini berkisar mengenai hal rakyat sebaliknya hanyalah ‘cerita’ politik semata-mata. 

“Ini soal aku nak ‘bunuh’ engkau dan engkau nak ‘bunuh’ aku. Itu sahaja dan tak ada cerita lain pun termasuk membela nasib rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Daerah Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Kuala Nerang, di sini hari ini. 

Jumaat lalu, Dr. Mahathir menerusi satu klip video yang dipaparkan di laman media sosialnya menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Anwar berkaitan kerjasama PRU15. 

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau percaya dirinya dan Anwar memiliki matlamat yang sama dan tidak kisah untuk melakukan langkah pertama bagi bertemu dengan bekas timbalannya itu. 

Tidak lama selepas itu, Anwar kemudiannya menyatakan pula kesudian untuk bertemu Dr. Mahathir dan memaklumkan beliau tiada masalah untuk bertemu bekas ‘bosnya’ itu. 

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, beliau yakin dengan kebijaksanaan rakyat untuk menilai jalan cerita dibentangkan Dr. Mahathir dan Anwar sejak puluhan tahun lalu. 

“Mereka ini sekejap ‘cium mulut’ sekejap tidak. Tetapi tengoklah apa yang diberikan kepada rakyat dalam tempoh 22 bulan sewaktu kedua-duanya dalam PH.

“Malah ketika itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pun ada bersama mereka tubuhkan kerajaan. Akhirnya mereka berpisah, buat hal masing-masing kerana impian mereka bukan nak bela rakyat,” katanya. 

Tambahnya, sudah tiba masa untuk rakyat memberi ruang kepada ahli politik lain memacu negara selepas kedua-dua pemimpin berkenaan terlalu kerap muncul untuk merebut kuasa sejak puluhan tahun lalu. 

“Ini bukan soal politik Dr. Mahathir dan Anwar atau Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Anwar. Ini soal politik membina negara,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya