PN Perlis muktamad pembahagian kerusi

PN Perlis muktamad pembahagian kerusi, Pas tanding 11 kerusi, Bersatu tujuh kerusi

PN yakin sokongan pengundi di Selangor meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Perikatan Nasional (PN) negeri telah memuktamadkan pembahagian kerusi membabitkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pembahagian tersebut menyaksikan Pas bakal bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen manakala Bersatu enam DUN serta satu Parlimen.

Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, Pas akan meletak calon di Parlimen Arau dan Padang Besar.

Kata Pesuruhjaya Pas negeri itu, kerusi DUN yang bakal ditandingi parti itu membabitkan Simpang Empat, Santan, Mata Ayer, Sena, Chuping, Beseri, Bintong selain mengekalkan DUN Guar Sanji dan Sanglang.

Ujarnya, Bersatu pula bakal bertanding di Parlimen Kangar serta membabitkan kerusi DUN Kuala Perlis, Kayang, Titi Tinggi, Indera Kayangan, Pauh dan Tambun Tulang.

“Calon-calon Pas yang akan bertanding juga sudah dimuktamadkan terdiri daripada muka baharu dan dalam kalangan profesional. Calon PN akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, Pas komited mempertahan kerusi DUN Guar Sanji dan Sanglang selain yakin menang di beberapa kerusi lain.

Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu, Abu Bakar Hamzah pula berkata, beliau akan menyerahkan senarai calon Bersatu kepada pimpinan pusat untuk diputuskan.

“90 peratus calon yang bakal diketengahkan Bersatu terdiri daripada muka baharu,” katanya yang juga Timbalan PN negeri.

Sebelum ini, PN memberi bayangan calon Menteri Besar dari Pas sekiranya gabungan tersebut berjaya menawan Perlis dalam PRU15.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, Bersatu mengakui kedudukan Pas sebagai ‘abang’ kepada gabungan itu di Perlis. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN