PN 'dirisik' bentuk kerajaan selepas PRU15

PN ‘dirisik’ bentuk kerajaan selepas PRU15

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan ada wakil negeri datang bertemu dengannya untuk berbincang bagi membentuk kerjasama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagaimanapun enggan mendedahkan butiran wakil negeri berkenaan.

“Tadi ada datang seorang wakil daripada sebuah negeri, saya rasa tidak usah sebut di sini. Wakil itu menyatakan komitmen untuk membantu dan menyokong kita bentuk kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Program Jelajah Prihatin Parlimen Putrajaya, di sini malam tadi.

Muhyiddin akui berasa lega dengan komitmen wakil negeri itu untuk bersama-sama membentuk kerajaan jika diberi mandat kelak.

Bagaimanapun, beliau berkata, PN terlebih dahulu mesti memenangi jumlah kerusi Parlimen terbesar berbanding Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Kita akan bertanding mungkin lebih daripada 130 kerusi, saya tak ingat. Tapi jumlah kerusi yang perlu dimenangi mestilah lebih 112 kerusi. 

“Kami yakin ada gelombang dalam sehari dua nanti di mana gelombang itu akan menyebabkan BN akan kalah teruk. PN akan pastikan Malaysia dibersihkan daripada sampah politik yang dibawa BN. Kita tidak boleh terima lagi amalan rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, jika PN diberi mandat membentuk kerajaan, perkara pertama yang akan dibincangkan pada mesyuarat pertama Jemaah Menteri adalah cara mengatasi masalah yang membelenggu rakyat.

“Kami akan atasi masalah kemiskinan, mewujudkan peluang perniagaan kepada golongan muda, memperkasa pendidikan dan kesihatan.

“Kami juga akan memastikan segala yang diumumkan pada Bajet 2023 akan ditunaikan termasuk bantuan khas penjawat awam sebanyak RM2,500.

“Jika kita dapati antara lainnya tidak sempurna dalam belanjawan ini dan ada dana lagi yang boleh digunakan maka, kita akan perbaiki bajet yang dibentangkan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya