KUALA TERENGGANU: Penganjur Hari Sayyidatina Aishah (HSA) menuntut permohonan maaf secara terbuka oleh pihak yang terlibat dengan penyebaran klip video pertunjukan fesyen sempena program tersebut, minggu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita negeri, Zuraida Md. Noor, berkata, penyebaran klip video telah menjatuhkan maruah wanita di dalam klip video yang juga peserta pertunjukan tersebut.
Menurut beliau, peragaan fesyen wanita itu merupakan program tertutup melibatkan wanita sahaja dan bukan untuk tatapan umum apatah lagi disebarkan video berkenaan.
“Satu laporan telah dibuat dan biar pihak polis membuat siasatan. Namun sejujurnya jika ada permohonan maaf secara terbuka, kami tidak akan panjangkan isu ini.
“Terdapat individu di media sosial Facebook yang kami kesan menyebarkan klip video itu antaranya Mizan Mohd. dan pengendali akaun Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Terengganu.
“Peserta program ini mengadu keluarga dan suami mereka berasa aib dengan penyebaran klip video berkenaan. Jadi kami selaku pihak penganjur memandang serius perkara ini.
“Kerajaan negeri sentiasa mengangkat martabat wanita tetapi ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan klip video bagi tujuan fitnah,” jelasnya ketika ditemui di sini, semalam.
Video berdurasi 18 saat itu memaparkan tujuh orang wanita melakukan raptai program peragaan fesyen sempena HSA di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, 29 September lalu.
Zuraida menjelaskan, pertunjukan fesyen itu antara intipati HSA selain Seminar Wanita Solehah, Bicara An-Nisa, Santai Seni Orang Puang Terengganu dan pelancaran Dasar Wanita Terengganu.
“Lebih menyedihkan klip video itu turut diletakkan suara lelaki seolah-olah provokasi dan fitnah terhadap program anjuran kerajaan negeri sedangkan kami sangat menitikberatkan maruah wanita.
“Mereka juga seperti mempolitikkan program itu. Jadi saya harap nama-nama disebut itu tampil memohon maaf secara terbuka dan berhenti menyebarkan klip video berkenaan,” tegasnya. – UTUSAN