PH terbukti mencabul institusi kehakiman

PH terbukti mencabul institusi kehakiman

SHAHRIL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan mengenai buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berjudul ‘My Story: Justice In The Wilderness’ jelas menunjukkan pencabulan institusi kehakiman negara oleh Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, pendedahan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas dakwaan-dakwaan di dalam buku tersebut jelas menunjukkan Tommy terlibat dalam pelbagai tindakan yang meragukan.

“Pelantikan pemegang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara pada Julai 2018 adalah individu-individu yang dipersetujui dalam perbincangan sulit antara Tommy Thomas dan Tun Mahathir. Yakni pelantikan untuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaysia, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

“Nama-nama tersebut berbeza dari pilihan Suruhanjaya Pelantikan Hakim. Ini bercanggah dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman di mana, seperti ditegaskan dalam muka surat 38 hingga 40 laporan pasukan khas,” katanya di dalam satu hantaran Facebook.

Shahril berkata, Perdana Menteri sepatutnya tidak mempunyai kuasa khusus untuk memilih calon hakim untuk mahkamah-mahkamah tersebut, sebaliknya melantik daripada senarai yang diberikan dan bukan pilihan tersendiri.

“Sebarang nama yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hendaklah berasaskan cadangan dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Perdana Menteri boleh mohon beberapa nama lain untuk sesuatu kekosongan, tetapi hendaklah dari kalangan senarai itu.

“Peguam Negara juga bukan ahli Suruhanjaya maka tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk mencadangkan mana-mana nama kepada Perdana Menteri,” katanya.

Tambahnya, PH yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan slogan ingin menambah baik tadbir urus, mengurangkan kebarangkalian salah guna kuasa, campur tangan dalam kehakiman dan sebagainya secara jelas hanyalah dusta apabila didedahkan.

“Terang-terang, satu prosedur dan undang-undang yang dibuat semasa zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) untuk memperkasa sistem kehakiman dan memperkuat pemisahan kuasa antara cabang eksekutif serta kehakiman, sudah dikesampingkan dengan sewenang-wenangnya.

“Hari ini menjelang PRU15 mereka menjaja slogan serupa. Konon mereka bersih, lebih reformis, lebih ikhlas, lebih ‘rakyat’. Mereka tuduh UMNO hendak menang sebab mahu campurtangan kes mahkamah. Mahu percaya lagikah?

“Atau lebih mahu percaya laungan pemimpin mereka yang secara gah berkata dalam ceramah, ‘kami akan sumbat kamu dalam penjara lepas menang,” katanya.

Shahril berkata, perjuangan PH adalah perjuangan politik dendam dengan mengajak rakyat untuk membenci segala perkara berkaitan UMNO demi kepuasan hati dan nafsu mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya