PH muktamad agihan kerusi 29 Oktober ini

PH muktamad agihan kerusi 29 Oktober ini

SAIFUDDIN Nasution ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Operasi PH Parlimen Bukit Mertajam, Pulau Pinang, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Pakatan Harapan (PH) dijangka memuktamadkan senarai penuh calon untuk semua kerusi Parlimen yang akan ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 29 Oktober ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ketika ini rundingan berkaitan agihan kerusi itu khususnya dalam kalangan empat parti komponen utama PH iaitu PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hampir selesai.

Bagaimanapun, katanya, rundingan lanjut masih dilakukan bersama dua lagi parti iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sehingga kini.

“Jawatankuasa PH sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan dua parti itu Ahad lepas, namun hasilnya belum dimuktamadkan.

“Dalam hal ini, pimpinan ‘Top 4’ PH yang akan memuktamadkan proses berkenaan iaitu pada hujung bulan ini (29 Oktober),” katanya selepas hadir pada majlis pelancaran Pusat Operasi PH Parlimen Bukit Mertajam, di sini malam ini.

Yang hadir  sama penyandang kerusi Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP Pulau Pinang; Chow Kon Yeow serta Pengerusi Amanah negeri, Dr. Roslan Ahmad.

Mengulas lanjut, kata Saifuddin, rundingan ‘akhir’ itu dibuat bagi mengelak berlakunya sebarang pertindihan kerusi antara parti-parti komponen di dalam PH.

“Sebagai contoh, kerusi (Parlimen) Kulim-Bandar Baharu adalah milik PKR. Tapi, kalau Muda (atau PSM) juga menuntut kerusi yang sama, kita akan bincang secara bilateral,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR membayangkan kekal bertanding di kerusi yang sama iaitu Parlimen Kulim-Bandar Baharu pada PRU-15.

“Apapun, keputusan itu (bertanding kerusi mana) juga akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya