LIPIS: Seorang warga emas yang juga pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTBM) meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis setelah terlibat kemalangan di Jalan Taman Cheneras Jaya di sini hari ini.
Kejadian pukul 10.40 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Ibrahim@Abdullah Che Mamat, 73, yang menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan pulang rumahnya dari bandar Kuala Lipis di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, hasil siasatan polis di tempat kejadian, motosikal warga emas itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pagar rumah jiran sebelum terjatuh ke longkang.
“Akibat kemalangan ini, mangsa dibawa ke Hospital Lipis dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan hospital,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, bedah siasat dijalankan oleh Hospital Lipis dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, semasa kejadian itu, mangsa menunggang motosikal milik anaknya.
Jelasnya, ketika kejadian keadaan keadaan cuaca baik, jalan lurus dan permukaan rata, berturap tar dan tiada garisan putus-putus di bahagian tengah jalan. – UTUSAN