Peruntukan RM190,000 atasi banjir kilat Pulau Gadong

Peruntukan RM190,000 atasi banjir kilat Pulau Gadong

KERATAN laporan Utusan Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Masalah banjir kilat yang pertama kali melanda penduduk di Kampung Tengah, Pulau Gadong dekat sini pagi semalam dijangka dapat diatasi melalui peruntukan RM190,000 untuk menyelesaikan masalah limpahan air dari Sungai Malim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, melalui peruntukan tersebut ia dapat mengurangkan risiko banjir kilat yang menjejaskan hampir 20 buah rumah di kampung berkenaan.

Katanya, peruntukan tersebut diluluskan baru-baru ini bagi membolehkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melantik kontraktor membaik pulih saluran paip bawah tanah yang rosak dan tersumbat.

“Apabila saliran air bawah tanah tersumbat ia menyebabkan air tidak dapat disalur keluar terus ke Sungai Malim dan itu menyebabkan berlakunya banjir kilat awal pagi semalam.

“Daripada 20 buah rumah yang terlibat, 10 buat terjejas teruk apabila air memasuki ruang rumah hingga ke bilik tidur. Rumah tersebut terletak berhampiran dengan Sungai Malim.

“Saya diberitahu penduduk, ini kali pertama banjir kilat memasuki rumah selepas hampir 40 tahun. Melalui peruntukan yang telah diluluskan, masalah ini akan dapat diatasi dengan segera,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

LIM Ban Hong membuat tinjauan penduduk Kampung Tengah, Pulau Gadong, Melaka yang terjejas akibat dilanda banjir kilat. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 100 penduduk di Kampung Tengah, Pulau Gadong terkejut apabila rumah mereka dimasuki air akibat banjir kilat ekoran hujan lebat hampir empat jam bermula pukul 5.15 pagi, semalam.

Hal ini kerana, sejak berpuluh tahun menetap di kampung berkenaan, ia adalah kali pertama kawasan itu dilanda bah.

Ban Hong berkata, peruntukan itu juga akan turut digunakan untuk membaiki pintu air, sistem pam air dan kotak pembentungan.

Jelasnya, JPS negeri telah mengarahkan kontraktor memulakan kerja-kerja mengukur sebaik sahaja banjir di kampung itu surut pukul 10 pagi, semalam.

“Kejadian banjir kilat ini tidak begitu serius kerana air naik sedalam 0.5 meter dan tidak melibatkan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Bantuan bencana telah disalurkan kepada penduduk yang terjejas teruk sewaktu melawat kesemua mangsa yang terlibat awal pagi semalam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya