Persatuan pengguna bantah kenaikan OPR, dakwa rakyat mula ikat perut 

Persatuan pengguna bantah kenaikan OPR, dakwa rakyat mula ikat perut  

MOHD. Yusrizal Yusoff dalam sidang akhbar mengenai kenaikan OPR di Alor Setar, Kedah, hari ini. - UTUSAN/ JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) membantah kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kali keempat yang akan berlaku bulan depan, memandangkan ia dilihat semakin menjejaskan kewangan pengguna.

Presiden Cake, Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengguna terutama golongan M40 termasuk penjawat awam yang mengeluh komitmen kewangan masing-masing meningkat.

“Selepas pandemik, OPR berada pada paras 1.75 peratus dan tahun ini sudah berlaku tiga kenaikan dengan setiap kali kenaikan 0.25 peratus yang membebankan pengguna.

“Pada Mei dan Julai lalu mungkin pengguna belum merasai kenaikan tersebut tetapi ketika ini sudah ada yang terjejas kerana ansuran rumah misalnya semakin bertambah dengan dahulu naik RM50 dan kini sudah RM150. 

“Kita dengar ia akan naik lagi untuk kali keempat November ini. Jadi Cake membantah sekeras-kerasnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Baru-baru ini, beberapa firma penyelidikan termasuk MIDF Research meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan OPR buat kali keempat tahun ini sebanyak 25 mata asas berikutan Indeks Harta Pengguna (IHP) teras yang kukuh pada September lalu.

HSBC Global Research turut menjangkakan BNM menaikkan OPR sehingga 3.50 peratus termasuk kenaikan 25 mata asas lagi yang akan diputuskan semasa mesyuarat MPC BNM pada November ini, sekali gus menyaksikan OPR 2.75 peratus menjelang hujung tahun.

Mohd. Yusrizal berkata, penambahan ansuran pinjaman ekoran kenaikan OPR itu bukan sahaja menyebabkan kedayaupayaan pengguna memiliki rumah semakin rendah tetapi memberi impak kepada kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ketika ini kenaikan kos sara hidup semakin meningkat, mereka yang menyewa rumah kadarnya tentu akan naik juga jika ansuran rumah bertambah.

“Pengguna terpaksa cari jalan untuk bayar hutang sahaja, setiap bulan baki gaji semakin berkurangan. Cukuplah tiga kenaikan ini, ada pengguna berbaki RM150 sebulan selepas bayar hutang. Bukan perbelanjaan mereka berjaya dikecilkan tetapi nak belanja pun tak cukup untuk anak-anak sekolah lagi,” katanya.

Sehubungan itu, kata Mohd. Yusrizal, Cake akan menghantar satu memorandum kepada BNM pada 28 Oktober ini sebagai membantah kenaikan OPR yang berterusan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya