KLANG: Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengakui bahawa beliau ada menghubungi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan bahawa beliau bakal bertanding di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Menurut Amirudin, sebelum ini pun beliau ada menghubungi Azmin bagi melancarkan urusan pentadbiran negeri serta Pusat memandangkan Azmin adalah salah seorang Menteri dalam kerajaan Malaysia.
“Semestinya saya perlu menghubungi Azmin sekiranya ada pelabur luar yang nak melabur dalam Selangor.
“Dalam kita berhubung, ada kita berbual kosong tapi saya tak pernah bocor rahsia parti pada Azmin,” katanya selepas melancarkan perluasan sistem Smartbox ke seluruh PDT di Selangor di pejabat Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, di sini hari ini.
Beberapa hari lepas, Azmin dalam satu majlis memaklumkan bahawa Amirudin ada menghubunginya bagi memberitahunya bahawa beliau bakal bertanding di Parlimen Gombak.
Azmin berkata, beliau bersedia untuk menentang Amirudin atau sesiapa sahaja yang ingin bertanding di Gombak, termasuk seorang ahli politik dari Kelantan yang digembar-gemburkan akan bertanding di situ.
Dalam pada itu, Amirudin mengatakan Azmin sengaja menggunakan perihal hal perbualan mereka sebagai kempen politik bagi memanaskan suasana menjelang hari penamaan calon pada 5 November ini.
“Kalau hal (perbualan telefon) pun beliau (Azmin) nak hebohkan, saya anggap beliau sebagai orang yang membosankan.
“Saya bakal lawan Azmin dan saya lawan dengan beliau secara profesional,” tegasnya. – UTUSAN