ARAU: Suasana malam sehingga awal pagi di sekitar negeri ini mula rancak apabila penyokong serta ahli-ahli parti politik mula sibuk memasang bendera parti masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Antaranya di sekitar Guar Sanji di sini yang menyaksikan ‘perang bendera’ khususnya membabitkan bendera Pas atau Perikanan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang sudah mula di pasang di tepi-tepi jalan.
Suasana di bilik-bilik gerakan yang sudah dibuka juga meriah dengan jentera parti giat mengatur strategi dalam menarik sokongan pengundi dalan PRU15 pada 19 November ini.
Setakat ini, PN dan BN dilihat lebih ke depan khususnya dari segi pemasangan bendera dan kewujudan bilik-bilik gerakan serta markas di sekitar negeri ini.
Seorang ahli Pas, Mohd. Hafiz Zali, 37, berkata, kerja-kerja memasang bendera Pas dan PN giat dijalankan di sekitar Guar Sanji sejak minggu lalu.
Katanya, aktiviti memasang bendera tersebut dilakukan pada waktu tengah malam agar tidak mengganggu lalu lintas di sekitar situ.
“Bahang PRU15 sudah mula dirasai apabila melihat bendera parti-parti politik khususnya Pas dan PN sudah mula naik dan berkibar dengan megah di sepanjang laluan di sini.
“Selepas hari penamaan calon (5 November), suasana akan lebih meriah dengan lebih banyak bendera dipasang termasuk poster-poster calon yang bakal bertanding,” katanya.
Seorang lagi ahli Pas, Erwan Elias,42, pula berkata, bendera Pas dan PN di pasang di sekitar Guar Sanji sehingga Utan Kandis di sini.
“Kami menggunakan buluh dan paip bagi mengibarkan bendera yang dipasang di tepi-tepi jalan ini. Suasana mula rancak dengan penyokong parti-parti politik lain khususnya BN juga bersama memasang bendera.
“Setakat ini, bendera Pas, PN yang dilihat lebih menyerlah di kawasan Guar Sanji ini. Bendera BN juga dilihat sudah mula dipasang. Bendera parti-parti lain seperti Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain dilihat masih belum ada,” katanya.
Dalam PRU15, Perlis dijangka bakal menyaksikan pertembungan lebih empat penjuru membabitkan BN, PN, PH, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Gerakan Tanah Air (GTA). – UTUSAN