TUMPAT: Sekumpulan penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan pelbagai cecair vape bernilai RM524,000 selepas kegiatan mereka dihidu anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di pangkalan haram Paija, di sini semalam.
Rampasan vape itu dilakukan pukul 3 pagi semasa anggota PGA melakukan rondaan rutin di kawasan Kuala Jambu.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa menjalankan rondaan rutin berhampiran Pengkalan Haram Paija, anggota PGA melihat beberapa orang lelaki sedang memunggah kotak dari sebuah kereta jenis Proton Saga ke dalam perahu.
Menurutnya, menyedari kehadiran anggota PGA, semua suspek bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu dengan menelusuri Sungai Golok.
“Pemeriksaan di dalam kereta itu telah menjumpai sebanyak 1,950 kotak berisi cecair vape pelbagai jenama.
“Pada masa sama, kita turut menjumpai 110 botol perisa vape yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM524,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, kesemua barang kes dibawa ke markas taktikal PGA Kuala Jambu untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952. – UTUSAN