TANJUNG MALIM: Seorang bapa yang hanya mampu menyewa sebuah rumah daif bersama isteri dan empat anaknya di Kampung Setia Jaya, Jalan Menderang, Sungkai di sini, mengharapkan kediaman yang lebih selesa.
Mohd. Saad Omar, 64, yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, dengan pendapatannya yang kecil, dia tiada pilihan selain menyewa rumah untuk isteri dan empat anaknya berteduh sejak lebih 10 tahun lalu.
Menurutnya, dia menyewa rumah itu dengan bayaran RM200 sebulan termasuk bil air dan elektrik.
Katanya, dengan harga getah yang terlalu rendah, dia tidak mampu menyediakan rumah yang selesa untuk anak-anaknya.
“Dengan keadaan kami sekeluarga sekarang, saya malu pada diri sendiri dan sedih melihat empat anak saya tinggal di rumah yang sudah usang ini.
“Anak-anak saya, Muhammad Syabel Zzamrud, 10; Nur Seri Marissa, 8; Muhammad Sybel Zzahran,6, dan Nur Haura Maradhiyah, 3, terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan kerana saya tidak dapat penuhi permintaan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohd. Saad, pendapatannya rendah dan tidak menentu disebabkan harga getah yang murah iaitu RM1.90 sekilogram.
Katanya, harga getah tidak menentu, ada masanya mencecah RM2 sekilogram dan pernah sehingga RM2.50 sekilogram tapi harganya boleh berubah pada bila-bila masa.
“Pendapatan sebagai penoreh tak menentu, jika hari hujan memang tidak boleh turun kebun getah untuk menoreh.
“Untuk tambah pendapatan, kami tanam sayur di tepi rumah dan kadang kala memancing di sungai dan ikan yang kami dapat kami dijual,” katanya.
Menurutnya, dia berhasrat untuk mempunyai rumah sendiri untuk keselesaan anak-anaknya.
“Saya orang kampung, tiada tanah untuk buat rumah. Dengan kerja kampung, apa boleh buat? Saya harap ada pihak yang dapat membantu kami,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Belian Maslina Jamaluddin, 39, berkata, demi anak-anak, dia tetap kuatkan semangat sama-sama membesarkan mereka dalam keadaan serba kekurangan.
Katanya, dia dan suami menggagahkan diri keluar menoreh getah untuk menyara anak-anak. – UTUSAN