Peniaga didakwa bunuh Datin  - Utusan Malaysia

Peniaga didakwa bunuh Datin 

MOHD. Faizul Mohamad Ali Kamil (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan membunuh seorang warga emas bergelar datin, pada 23 September lalu. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang peniaga kecil-kecilan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh seorang Datin berusia 70-an di sebuah rumah di Taman Paroi Jaya di sini pada 23 September lalu.

Tertuduh, Mohd. Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd. Firdaus Saleh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Faizul didakwa menyebabkan kematian seorang warga emas, Noraida Nordin, 75.

Kesalahan itu dilakukan di dapur sebuah rumah di Taman Paroi Jaya di sini antara pukul 4.50 petang hingga 8 malam, 23 September lalu.

Sehubungan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju-T berwarna biru tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi.

Turut kelihatan pelakon Farhan Asri atau nama sebenarnya Muhamad Farhan Mohd. Asri, 25, yang juga cucu kepada mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, Sritharai C N  dan P.Praveen.

Sebelum ini, media melaporkan selepas dua minggu diburu, suspek utama dalam kejadian seorang wanita bergelar Datin yang ditemukan mati akibat dibunuh di rumahnya di Taman Paroi Jaya di sini, 23 September lalu akhirnya berjaya ditahan polis.

Suspek lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di pondok di tepi jalan Batu 4 Jalan Port Dickson – Telok Kemang, Port Dickson pada pukul 1 tengah hari, 8 Oktober lalu.

Pada 23 September lalu, seorang wanita warga emas bergelar Datin berusia 75 tahun ditemukan mati akibat dibunuh selepas berlaku pergelutan dengan penjenayah di rumahnya di Taman Paroi Jaya di sini.

Kejadian pada pukul 8.25 malam itu berlaku ketika Datin Noraida Nordin, 75, tinggal bersama suaminya yang merupakan bekas ahli perniagaan bergelar Datuk, namun berdepan masalah penglihatan.

Siasatan mendapati terdapat kesan kecederaan pada anggota badan mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya