BALIK PULAU: Pengusaha-pengusaha bot serta pemandu pelancong di Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang di sini, memohon Pejabat Taman Negara Pulau Pinang mengkaji semula caj bayaran masuk ke hutan simpan berkenaan yang disifatkan terlalu mahal buat pelancong.
Caj berkenaan iaitu fi konservasi dan fi aktiviti akan mula dikenakan 1 November ini kepada pelancong asing dan tempatan serta penduduk setempat.
Bagi pelancong tempatan fi konservasi itu berjumlah RM10 (dewasa) serta RM5 (bagi pelajar dan kanak-kanak) serta RM2 (penduduk tempatan), manakala bagi pelancong asing dikenakan RM50 (dewasa), RM20 (pelajar) dan RM15 (kanak-kanak tiga hingga 12 tahun).
Seorang pengusaha bot pelancong, Mohd. Afizee Rodzi, 33, berkata, fi yang dikenakan kepada pelancong tempatan dan pelancong asing itu terlalu tinggi dan boleh mengganggu aktiviti pelancongan di situ.
“Pada Mei lalu kami pernah menyuarakan bantahan kerana pengurusan Taman Negara kerana fi ini terlalu tinggi.
“Kami berharap jumlah fi ini akan dikaji semula dengan kadar yang lebih munasabah memandangkan fi di Taman Negara Pahang misalnya hanya RM2 bagi pelancong asing manakala RM1 bagi pelancong tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Negara Pulau Pinang, di sini hari ini.
Terdahulu sekumpulan pengusaha bot dan pemandu pelancong mengadakan demonstrasi aman membantah fi berkenaan di Taman Negara Pulau Pinang.
Mereka turut menyerahkan memorandum bantahan yang ditandatangani lebih 300 pengusaha bot, penduduk tempatan dan pemandu pelancong kepada wakil Pejabat Taman Negara Pulau Pinang.
Menurut Mohd. Afizee, pihaknya amat berharap fi berkenaan ditangguhkan terlebih dahulu oleh pihak pengurusan Taman Negara Pulau Pinang memandangkan situasi ekonomi para pengusaha bot yang masih belum pulih selepas pandemik Covid-19.
“Pelancong tidak pernah dikenakan sebarang caj sejak 2003 dan lebih sejuta pelancong melawat taman negara ini setiap tahun.
“Kami bimbang sekiranya fi ini mula dikenakan, pelancong enggan datang ke sini lagi dan menjejaskan punca pendapatan kami,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pemandu pelancong, Suhaimi Hamid, 57, berkata, pihaknya amat berharap kadar fi berkenaan akan disemak semula supaya lebih munasabah serta tidak dianggap membebankan pelancong. – UTUSAN