Pengerusi Amanah Kedah dipecat serta-merta - Utusan Malaysia

Pengerusi Amanah Kedah dipecat serta-merta

PHAHROLRAZI MOHD. ZAWAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) memecat keahlian Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli berkata, pemecatan itu disebabkan Phaholrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu didapati telah melanggar perlembagaan parti berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2 (b).

Menurut beliau, keputusan pemecatan tersebut dibuat selepas mesyuarat Amanah yang dilakukan hari ini.

“Phahrolrazi didapati melanggar perlembagaan parti, mengingkari keputusan-keputusan parti dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh akan menggalas tanggungjawab yang dikosongkan tersebut.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, Amanah Kedah dikatakan mengalami pergolakan apabila sebahagian pimpinan utama di negeri ini tidak berpuas hati dengan pemberian kerusi Parlimen Jerai kepada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut sumber, pemimpin dan ahli terlibat dipercayai akan memboikot pilihan raya berkenaan setelah Pakatan Harapan (PH) sah menamakan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff sebagai calon di kerusi itu.

Katanya, satu sidang akhbar tergempar akan diadakan kira-kira pukul 5.30 petang ini di Pejabat Amanah Jerai yang terletak di Guar Chempedak.

Difahamkan, Parlimen Jerai sepatutnya ditandingi calon daripada Amanah setelah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di kerusi itu pada PRU14 lalu tidak lagi berada dalam PH.

“Kemungkinan Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi akan hadir pada sidang akhbar tersebut bersama beberapa lagi kepimpinan lain.

“Namun, setakat ini saya tidak dapat mengesahkan sama ada kepimpinan Amanah Kedah telah terbahagi dua dan umpamanya setelah timbul rasa tidak puas hati ini, apa pun kita kena tunggu penjelasan pada sidang akhbar petang ini,” kata sumber kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Ketua Penerangan PH Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Kedah mengumumkan Zulhazmi sebagai calon Parlimen Jerai pada Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah di Sungai Petani, dekat sini.

Phahrolrazi tidak berada dalam majlis berkenaan meskipun mengikut tentatif program yang dihadiri Presiden Amanah, Mohamad Sabu itu, beliau akan menyampaikan ucapan sebelum majlis pengumuman calon.

Sementara itu, Setiausaha Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris menafikan pihaknya berpecah ekoran perkara terbabit dan menjelaskan sidang akhbar yang mahu dilakukan petang ini lebih kepada suara daripada Amanah Kawasan Jerai.

“Saya tidak rasa ini melibatkan sehingga peringkat Amanah Kedah tetapi hanya rasa tidak berpuas hati daripada Amanah Jerai yang mungkin melihat calon Amanah sesuai diletakkan di kerusi Parlimen itu.

“Kehadiran Datuk Phahrolrazi yang dikatakan akan ke sidang akhbar tersebut mungkin atas kapasiti beliau selaku Pengerusi negeri yang mahu membantu Amanah Jerai untuk merayu meletakkan calon di situ,” katanya.

Tambah Asmirul Anuar, semua pihak sepatutnya akur menerima keputusan pucuk pimpinan Amanah dan PH di peringkat nasional yang memiliki pandangan berbeza berbanding perkara yang dilihat oleh Amanah Kawasan Jerai.

“Saya tidak nampak ia melibatkan isu-isu lain (termasuk perpecahan dalaman) tetapi lebih kepada ingin merayu agar Amanah kawasan itu diberi peluang untuk bertanding pada PRU15 kali ini,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya