ALOR SETAR: Penganjur Festival Mingguan Muda-Mudi yang terpalit dengan kontroversi konsert di depan Masjid Zahir, Sabtu lepas, memohon maaf di atas insiden yang disifatkan sebagai pengajaran besar kepada mereka.
Pengelola Kolektif Biggy, Ainol Zulkarnain Zainal Abidin, 38, memberitahu, program berkenaan adalah satu usaha mereka untuk mempromosikan bakat anak-anak muda negeri ini dalam bidang seni dan keusahawanan.
“Kami memohon maaf andai apa yang kami buat ini memberi kesulitan kepada pihak muzium, Balai Seni dan kerajaan negeri. Apa yang berlaku sudah terjadi dan kami berada di waktu yang salah dan mungkin ini pengajaran yang sangat berharga untuk kami.
“Niat kami sangat baik dan langsung tidak mempunyai niat tidak baik kepada mana-mana pihak. Jadi kami ambil iktibar untuk baikinya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Mohd. Firdaus Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad.
Menurutnya, festival berkenaan yang diadakan pada 30 September dan 1 Oktober lalu merupakan platform untuk anak-anak muda mengembangkan bakat seni dan bidang keusahawanan masing-masing.
“Kami ambil iktibar dan pengajaran daripada perkara ini untuk kami berjaya dalam objektif program kami. Niat kami program adalah sebuah himpunan anak muda dan platform untuk kembangkan bakat dan bidang keusahawanan.
“Jadi, festival ini tidak salah. Kalau konsert seperti itu tidak lagi dibenarkan kami akur. Namun bagi kami cabang seni tak tertakluk kepada persembahan muzik sahaja banyak lagi seperti seni kopi, kraf, fesyen, sukan lasak dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan aksi terkinja-kinja di Balai Seni Negeri. Acara itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai memandangkan ia diadakan tidak jauh daripada Masjid Zahir.
Dalam pada itu, Mohd. Firdaus berkata, kerajaan negeri akan memperincikan garis panduan konsert terbuka di Kedah bagi mengelak insiden penonton bertindak di luar kawalan dan larangan terhadap acara hiburan yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor adalah bersifat sementara untuk menjamin keharmonian rakyat negeri ini.
“Untuk harmonikan keadaan, kita hentikan sementara penganjuran konsert yang boleh datangkan mudarat, bukan halang semua konsert, sebab ada yang berkonsepkan kerohanian dan keagamaan. Ia hanya makluman umum, belum diperincikan jenis konsert yang macam mana tidak dibenarkan. Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco,” katanya.
Mengulas lanjut kata Mohd. Firdaus, berhubung insiden penonton terkinja-kinja itu pihaknya juga mendapati tiada sebarang pelanggaran dilakukan oleh penganjur iaitu Kolektif Biggy dengan kerjasama Balai Seni Negeri.
“Saya percaya perkara ini menjadi isu besar berikutan pemilihan tempat program yang berhampiran Masjid Zahir dan Pejabat Agama Islam kurang sesuai. Kita ambil maklum tentang perkara ini tetapi program-program seperti ini tidak boleh disekat terus.
“Ia menggabungkan aktiviti seni, keusahawanan dan hiburan kekeluargaan namun menjadi tidak terkawal hanya ketika konsert diadakan. Tak kan pula disebabkan insiden itu, usahawan kita dihalang, mereka nak cari rezeki macam mana, malah akan rencatkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri,” katanya. – UTUSAN