KUALA NERUS: Penduduk yang tinggal berdekatan tempat pembuangan sampah di Taman Perumahan Awam Kos Rendah Mengabang Lekor, Batu Rakit di sini terpaksa menghidu bau busuk daripada longgokan sampah tersebut pada setiap hari.
Mereka mendakwa tong sampah yang disediakan tidak mencukupi hingga sampah melimpah dan bertaburan.
Seorang penduduk, Mariam Adam, 57, berkata, dia yang tinggal paling hampir dengan tempat pembuangan sampah itu tersebut terpaksa menghidu bau busuk pada setiap masa lebih setahun lalu.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan keluarganya tinggal dalam keadaan tidak selesa terutamanya pada waktu makan.
“Dari pagi hingga malam, saya sekeluarga terpaksa berhadapan dengan masalah bau busuk longgokan sampah itu.
“Saya tidak pasti bila masalah ini akan selesai kerana tidak tahan lagi menderita hidu bau busuk sampah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perumahan Awam Kos Rendah Mengabang Lekor, Batu Rakit di sini, hari ini.
Mariam memberitahu, keadaan bertambah buruk apabila kebanyakan penduduk bertindak membuang sampah di luar tong sampah yang disediakan sehingga sampah bertaburan.
Seorang lagi penduduk, Hasbi Felix, 50, pula memberitahu, pihak kontraktor yang menjalankan kerja-kerja mengangkut sampah juga didapati tidak mengangkut sampah mengikut jadual.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan berlaku longgokan sampah sehingga memenuhi kawasan itu.
Malah, tambahnya, sampah yang dibuang agak jauh dari tong sampah pula tidak diangkut dan dibersihkan.
“Sampah tersebut sepatutnya diangkut dengan lebih kerap untuk memastikan sampah tidak mencemari kawasan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Perumahan Awam Kos Rendah Mengabang Lekor, Mohd. Riduan Mat Radi, 40, memberitahu, masalah longgokan sampah tersebut sudah dilaporkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganhmu (MPKT), namun, masih berlarutan.
Menurutnya, dia sebelum ini terpaksa mengambil inisiatif menyewa jengkaut untuk membantu menimbus longgokan sampah tersebut.
“Langkah itu diambil selepas mendapati banyak longgokan sampah yang dibuang lebih 400 penduduk di taman ini mencemari kawasan itu,” katanya.
Tambahnya, dia juga meminta MPKT menyediakan tong sampah yang besar untuk menampung sampah yang banyak.-UTUSAN