LANGKAWI: Laluan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketujuh dari Pekan Kuah ke Gunung Raya hari ini mengalami perubahan berikutan tanah runtuh di jalan ke puncak gunung itu.
Menerusi kenyataan penganjur, Presiden Komisar pertandingan bersetuju supaya laluan sejauh 90.8 kilometer (km) itu digantikan dengan laluan peringkat lapan membabitkan Loop Langkawi.
“Setelah bermesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah, Jawatankuasa Keselamatan Lalulintas Langkawi, dengan ini memutuskan untuk membatalkan penamat di Gunung Raya.
“Ia atas faktor keselamatan semua pelumba dan pegawai perlumbaan serta orang awam. Pembatalan penamat ini adalah disebabkan kejadian tanah runtuh di empat lokasi di Gunung Raya dan setakat ini masih lagi terdapat gelongsoran tanah di sana,” jelas kenyataan itu.
Perlumbaan ikonik itu hampir menuju ke penamat dengan dua perlumbaan berbaki di pulau pelancongan pada hari ini dan esok membabitkan pelumba profesional seluruh dunia.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, laluan ke Gunung Raya ditutup kerana terdapat empat runtuhan tanah berlaku dan masih terdapat pergerakan tanah dikesan. – UTUSAN