BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang petang semalam selepas dipercayai terlibat dengan penyelewengan diesel bersubsidi.
Pengarah PPDNHEP negeri, S. Jegan berkata, lelaki warga tempatan berusia 30-an itu ditahan ketika sedang mengisi minyak diesel dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota penguat kuasa seramai lapan orang itu kemudian mengekori lelaki berkenaan yang juga dipercayai pemilik lori sebelum menjumpai dua buah lori yang diletakkan berhampiran Lorong Tanjung Indah, di sini.
Menurut beliau, lori pertama seberat satu tan mempunyai dua tangki plastik berkapasiti 2,000 liter manakala lori kedua seberat tiga tan mempunyai empat tangki plastik berkapasiti 4,000 liter yang telah diubah suai dan ditempatkan di belakang lori tersebut dengan ditutupi kain kanvas.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat kira-kira 2,000 liter minyak diesel dalam tangki simpanan kedua-dua buah lori tersebut secara keseluruhannya.
“Selain 2,000 liter minyak diesel dan dua buah lori, turut dirampas dalam serbuan itu ialah enam unit plastik, empat unit pam motor dan satu unit pam hos dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM40,700,” katanya di sini, hari ini.
Jegan berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Sementara itu katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.
“Kami ingin mengingatkan orang ramai penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi akan dikenakan tindakan tegas,” katanya yang amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi. – UTUSAN