ALOR SETAR: Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) melahirkan kebimbangan dengan trend pembatalan tempahan bilik di pulau peranginan itu walaupun ketika musim puncak termasuk menjelang cuti umum Maulidur Rasul, minggu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir berkata, pihaknya merekodkan pembatalan sebanyak 29 peratus sehingga 3 Oktober lalu bagi tempahan sepanjang cuti panjang hujung minggu itu sehingga Isnin ini.
“Pembatalan ini melibatkan hotel, chalet dan inap desa pengusaha di bawah naungan LTA iaitu sebanyak 29 peratus. Alasan? Saya dimaklumkan banyak yang membuat tempahan, namun membatalkannya setelah gagal mendapatkan tiket feri ke sini.
“Itu masalah besar yang menyelubungi industri pelancongan Langkawi ketika ini. Satu perkara yang perlu ditangani segera oleh agensi terlibat dan kerajaan. Orang sudah malas untuk ke Langkawi, banyak yang memilih untuk ke Cameron Highland atau Hatyai, itu realiti sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Katanya, LTA menerima sekurang-kurangnya 20 aduan setiap hari daripada ahli-ahlinya termasuk pihak lain yang terlibat dengan industri pelancongan di Langkawi.
“Sempena cuti Maulidur Rasul ini, tempahan banyak diperoleh di sekitar Pantai Cenang sahaja sementara di kawasan lain termasuk pekan Kuah masih lengang. Isu sekarang adalah perjalanan feri iaitu daripada 12 kepada cuma lima sekarang. Perkara ini tentu menjejaskan kedatangan pelancong.
“Contoh mudah, datang dan lihat sendiri keadaan di Terminal Feri Kuah. Dahulu ada 25 kaunter yang beroperasi sekarang tinggal lapan sahaja. Banyak pengusaha terdiri agensi pelancongan termasuk kereta sewa tidak mampu bertahan kerana kedatangan semakin berkurangan,” dakwanya.
Sehubungan itu, kata beliau, selain jadual perjalanan feri perlu ditambah, pihaknya berharap lebih banyak lesen diberikan kepada pengusaha luar yang berhasrat menyediakan perkhidmatan laut itu.
“Statistik daripada agensi pelancongan Malaysia bahawa 65 peratus pelancong menggunakan perkhidmatan laut ke Langkawi. Andai perkhidmatan feri terjejas, tentulah kedatangan terjejas.
“Pembatalan tempahan 29 peratus ini, mungkin banyak yang melihat ia masih rendah, tetapi ia melibatkan 300 bilik hotel dan tentu ratusan ribu ringgit kerugian yang harus ditanggung bukan sahaja pengusaha hotel malah penduduk Langkawi yang terlibat dalam pelancongan,” katanya. – UTUSAN