PETALING JAYA: Seorang wanita maut manakala seorang lagi parah selepas dilanggar pemandu kereta mabuk ketika melintas jalan di Jalan Banting-Kajang (Jalan Reko) berhampiran simpang masuk ke Taman Sri Langat, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, pemandu dipercayai dari Kajang Sentral menuju pulang ke rumah di Taman Sri Langat, Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, apabila tiba di tempat kejadian, pemandu terbabit dipercayai merempuh dua wanita yang sedang melintas jalan sebelum melanggar dua buah kereta yang diletakkan di hadapan sebuah restoran.
“Kejadian itu mengakibatkan seorang mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Serdang.
“Seorang lagi mangsa cedera parah menerima rawatan di Hospital Kajang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu itu dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk menjalani ujian saringan awal kandungan alkohol.
Ujarnya, hasil ujian yang dijalankan terhadap pemandu adalah positif di bawah pengaruh alkohol.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar bagaimana kemalangan berlaku atau terdapat unsur lain.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat menghubungi mana-mana balai polis berdekatan di Kajang atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Feaisal Mokhtar di talian 012-9454655 bagi membantu siasatan. – UTUSAN