PAS diramal bakal hilang banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Andaian itu tampak berasas apabila terdapat lapan kerusi itu dimenangi dengan majoriti bawah 1,500 pada PRU-14 lalu sekali gus meletakkan Pas berada dalam zon tidak ‘selamat’ untuk mempertahankannya.
Menyulitkan lagi keadaan apabila dua DUN iaitu Apam Putra di kawasan Parlimen Rantau Panjang hanya dimenangi Pas dengan majoriti 348 undi manakala Wakaf Bharu (Tumpat) 387 undi. Keputusan itu belum ditambah dengan lapan kerusi DUN yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU14 lalu.
Mutakhir ini sudah kedengaran cakap-cakap rakyat Kelantan yang mendakwa mereka sudah muak dengan pentadbiran Pas dan mahu membuat perubahan untuk menukar tampuk kepimpinan yang terkenal dengan jolokan Membangun Bersama Islam kepada kerajaan baharu.
Namun, ‘angin’ perubahan yang cuba digerakkan oleh sesetengah pihak untuk menukar pentadbiran Pas dilihat belum kuat ‘memikat’ hati rakyat untuk berbuat demikian pada PRU-15.
Asas itu tampak kukuh apabila UMNO dilihat seolah-olah ‘sendu’ untuk menjuarai isu-isu melibatkan kepentingan rakyat sehingga menyebabkan masyarakat di sini terpinga-pinga mencari parti yang mampu membantu mereka merealisasikan hasrat ‘memberi’ pengajaran kepada Pas.
Situasi itu seolah-olah memberi gambaran awal UMNO tidak ‘bersungguh’ untuk menumbangkan Pas. Hakikatnya, rakyat sudah memberi isyarat awal mereka sudah bersedia untuk menukar kerajaan.
Namun sayang isyarat itu seolah-olah tidak disambut sekali gus membiarkan Pas terus mengorak langkah untuk terus menapak di negeri ini.
UMNO seharusnya memanfaatkan peluang yang ‘terhidang’ ini untuk menjadi hero dengan memperjuangkan hak-hak rakyat secara berterusan menerusi pelbagai saluran khususnya media sosial dan tidak perlu bergantung kepada ceramah kelompok semata-mata yang merupakan cara tradisi untuk memberikan penerangan berkait satu-satu isu.
Mood PRU-15 kali ini pastinya ‘berbeza’ ditambah pula dengan kehadiran pengundi 18 tahun yang menjadi pemilih buat kali pertama secara automatik. Undi 18 kali ini bakal menjadi king maker menentukan pentadbiran di sama ada peringkat negeri dan pusat sekali gus mengambil ‘kuasa’ yang sebelum ini didominasi oleh golongan atas pagar.
Sungguh pun begitu, Pas tidak boleh memandang ‘lekeh’ angin perubahan itu walau tiupan sekadar sepoi-sepoi bahasa. Pendedahan mengenai kepincangan yang dibuat oleh Pertubuhan Save Kelantan pastinya membuatkan parti itu tidak senang duduk untuk menjawab segala fakta-fakta dibentangkan oleh pihak berkenaan.
Kekal atau tukar semuanya terletak di tangan para pengundi yang akan memilih pada PRU15 nanti. Kalau takut mandi air sejuk jangan berumah di tepi bukit.
Harus diingat firman Allah dalam surah Ar-Ra’ad ayat 11 yang bermaksud Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka.- UTUSAN