KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak diberi harapan akan menang sebarang kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Rays Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengalisis politik dari Universiti Malaya Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, rancangan Pas meletakkan calon di Sarawak walaupun tidak pernah menang di negeri itu lebih kepada untuk menunjukkan parti itu wujud di Sarawak agar pengundi mulai mengenali Pas yang berasaskan agama tersebut.
Pensyarah Kanan Universiti Malaya itu berkata jika Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP mampu mengekalkan prestasinya di Sarawak ia adalah sesuatu yang terbaik bagi pakatan tersebut.
“PKR (Parti Keadilan Rakyat) perlu bekerja lebih kuat jika mahu memang paling kurang dua kerusi parlimen, manakala Amanah dijangka tidak akan menang sebarang kerusi di Sarawak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, menurut Azman Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dianggotai Parti Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dijangka mampu memperbaiki prestasinya pada PRU-15 dari segi bilangan kerusi yang boleh dimenangi, iaitu sekurang-kurangnya 25 kerusi parlimen.
Sementara itu, diminta mengulas kenyataan naib presiden PBB Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa GPS tidak akan bekerja dengan PH selepas PRU15, Awang Azman menyifatkan kenyataan tersebut sebagai bijak dan lebih kepada kenyataan politik bagi memastikan arah sokongan pengundi Sarawak semuanya kepada GPS.
“Dalam politik tiada kawan dan musuh yang kekal. Yang kekal ialah kepentingan parti.
“Begitu juga situasi Sarawak di mana pengundi bebas mengundi mana-mana clon atau parti akan tetapi terpulang kepada pimpinan GPS untuk memilih yang terbaik dalam soal kerjasama dengan mana-mana blok yang sesuai berdasarkan kepentingan dan perspektif yang lebih luas,” katanya.
Tambah beliau, GPS sebelum ini pernah bekerjasama dengan Pakatan Nasional (PN) yang terdapat BN, Pas dan Bersatu sebelum parlimen dibubarkan.
“Yang penting Sarawak mendapat hak dan berjaya menjuarai tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pada masa yang sama pendapatan Sarawak semakin bertambah.
“Ini juga bagi menstabilkan kerajaan dan negara,” kata Awang Azman.
Berkenaan isu mahkamah dan rasuah yang mana membabitkan kalangan pemimpin Umno dan BN, Azman berkata ia tidak akan menjejaskan GPS sekalipun gabungan kelihatan seperti bekerjasama dengan BN dan Umno dalam PRU25.
Katanya, biarlah proses mahkamah yang menentukan pemimpin yang terpalit dengan rasuah yang dan keputusan mahkamah harus dihormati.
“Jadi tak timbul isu menjejaskan peluang sokongan pengundi kepada calon-calon GPS jika bekerjasama dengan BN,” katanya lagi.
Semalam Setiausaha Agung BN Umno Datuk Seri Ahmad Mazlan yakin BN akan membentuk kerajaan ‘kuat’ selepas PRU15 dengan bantuan GPS
Beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa gabungan BN sepatutnya boleh memenangi majoriti mudah 112 kerusi persekutuan dan mengharapkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyampaikan 25 lagi kerusi walaupun tiada perjanjian rasmi.
Ahmad Mazlan mendakwa beberapa pemimpin BN baru-baru ini bertemu dengan kepimpinan GPS dan yang terakhir bersetuju dengan pengaturan itu, selagi pihak BN dominan.
“Itulah sebab BN perlu mendapatkan 112 kerusi parlimen sebelum membawa GPS untuk membentuk kerajaan persekutuan seterusnya,” Ahmad dipetik sebagai berkata.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen bagaimanapun percaya ada kemungkinan PH akan membentuk kerajaan selepas PRU15 pada 19 Nov ini.
Katanya, DAP akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan enam kerusi yang dimenangi parti tu di Sarawak pada PRU14.
“Jika kita dapat mengekalkan enam kerusi ini, ada kemungkinan besar PH membentuk kerajaan persekutuan,” kata pengerusi DAP Sarawak itu pada sidang media di sini semalam.
Katanya, PH berjaya menukar kerajaan pada 2018 (pada PRU14) dan tidak mustahil ia boleh dilakukan sekali pada PRU15.
Mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Hamzah bahawa GPS tidak akan bekerja sama dengan PH bagi membentuk kerajaan, Chong berkata perkara itu sudah dijangka kerana gabungan itu akan sentiasa berpasangan dengan UMNO dan BN.
“Mereka telah bersama selama lebih 55 tahun. GPS pun ikut UMNO jadi pembangkang semasa PH memerintah,” tambahnya. –UTUSAN
End.