KOTA BHARU: Pas akur dan terbuka menerima tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang telah ditetapkan pada 19 November ini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penetapan tarikh itu merupakan kuasa eksekutif SPR dan ia tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak walaupun diadakan pada musim Monsun Timur Laut.
Menurutnya, mengikut undang-undang SPR boleh bermesyuarat dan menetapkan tarikh pilihan raya tidak kurang daripada empat hari selepas writ pilihan raya digazetkan.
“Pas sebagai sebuah parti politik tidak mempunyai pilihan selain akur kepada keputusan SPR termasuk dalam soal penetapan tarikh pilihan raya. Jika berlaku banjir besar pada hari pilihan raya diadakan hanya satu perkara yang boleh menghalang pilihan raya diadakan pada ketika ini, iaitu pengisytiharan darurat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kelantan Go Digital di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
SPR yang bermesyuarat hari ini menetapkan tarikh penamaan calon PRU15 pada 5 November, diikuti tarikh pengundian awal pada 15 November dan hari mengundi ditetapkan pada 19 November nanti.
Dalam perkembangan lain, penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu itu memaklumkan pembahagian kerusi dan calon-calon Pas masih dalam perbincangan.
Katanya, Pas sudah menyenarai pendek nama calon yang akan bertanding pada PRU15 namun ia masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan.
“Pasti ada calon dari golongan muda. Sudah menjadi tradisi Pas untuk menggabungkan muka baharu dan lama dalam setiap pilihan raya. Kita juga ada terima tawaran untuk bertanding di kerusi lain tetapi jika dirasakan tidak sesuai, kita tidak akan terima,” jelasnya. – UTUSAN