KUCHING: Parti -parti pembangkang di Sarawak tidak mempunyai masa depan yang cerah kerana pelbagai sebab.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara faktor tersebut adalah berdepan masalah krisis kepimpinan seperti yang berlaku kepada Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Jelas Abdul Karim, pergolakan dalaman PBM melibatkan isu perebutan jawatan presiden memberi bayangan kepada situasi yang tidak menentu akan melanda parti tersebut pada masa akan datang.
“Dua tiga hari ini kita dapat lihat berebut tentang siapa mahu jadi presiden, siapa yang akan mengeluarkan watikah.
“Melihat kepada situasi ini, saya melihat belum lagi bertanding mereka sudah keliru kepada asas kepimpinan dan saya dapat rasakan mereka tidak akan mempunyai prestasi yang baik terutamanya di Sarawak,” katanya ketika ditemui media semasa menghadiri Konsert Kuching Jazz Festival di sini kelmarin.
Malah kata Abdul Karim, situasi seperti ini juga akan membuatkan pengundi persoal dan menilai perjuangan parti itu sendiri.
“Kalau sebelum masuk pilihan raya sudah ada masalah macam ini, bagaimana hendak memperoleh sokongan dan menjadi pemimpin untuk mewakili rakyat di kawasan masing-masing,” tegas Abdul Karim.
Mengulas parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) beliau tidak menafikan situasi sama berlaku kepada parti itu.
“Kalau untuk PKR ramai sudah lihat parti ini pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) yang lepas mereka meletakkan ramai calon seorang calon pun tak dapat prestasi memuaskan, baiknya di Semenanjung baiknya di Sarawak.
“Saya bukan sombong (arrogant) di sini tetapi melihat kepada kedua-dua parti itu mereka tidak mempunyai pemimpin yang berkaliber dan berwibawa, pemimpin-pemimpin yang ada pun mereka dah bertanding berapa kali semua tak dapat, mereka akan perlahan-lahan jatuh,” tambahnya. –UTUSAN