TUMPAT: Menawarkan pakej bekam yang murah dan memberi urutan secara percuma menjadi tarikan orang ramai untuk mendapatkan rawatan di Pusat Bekam Al Jannah yang terletak di Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.
Pusat berkenaan diusahakan oleh pasangan suami isteri, Mohamed Fahmy Abdul Rahim, 38, dan Norzalina Che Lah, 38, sejak 10 tahun yang lalu.
Norzalina yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, pusat berkenaan menawarkan pakej bekam angin, bekam darah, urutan dan akupuntur.
Katanya, lebih menarik kerana mereka menawarkan pakej urutan serta bekam angin yang percuma kepada mereka yang mengambil pakej bekam darah.
“Pakej yang ditawarkan ini hanya serendah RM40 bagi bekam muka dan pakej bajet pula RM50 untuk bekam badan serta muka.
“Jika orang lain mengenakan bayaran RM5 bagi satu cawan bekam, namun saya hanya cas serendah RM40 sahaja untuk 10 cawan. Tawaran harga murah ini dikenakan selagi saya mampu untuk menanggung kos berikutan harga yang sama ini dikenakan sejak 2016 lagi.
“Saya tidak menaikkan harga kerana mahu membantu orang ramai termasuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan supaya dapat berbekam dengan harga yang mampu dibayar,” katanya ketika ditemui di Pusat Bekam Al Jannah di Wakaf Bharu, Tumpat.
Ibu kepada empat anak berkata, sebelum membuka pusat bekam itu, dia terlebih dahulu bekerja makan gaji di sebuah syarikat swasta selama empat tahun sebelum mengambil keputusan mengambil kursus bekam.
Katanya, cabaran dalam perniagaan yang dihadapi adalah ketika mula menceburkan diri dalam bidang itu kerana kekangan untuk menerima pelanggan berikutan mereka beroperasi secara ‘mobil’ iaitu dari rumah ke rumah.
“Saya tidak dapat menerima pelanggan yang ramai berikutan perlu bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Sebaik kami membuka premis, saya bersyukur kerana mendapat sambutan yang baik apabila menerima pelanggan di antara tujuh hingga 32 orang sehari.
“Pelanggan yang datang ini kebanyakan mereka mendengar perkhidmatan rawatan yang kami tawarkan daripada saudara atau rakan mereka. Di samping itu, saya juga membuat promosi di Facebook Bekam Jannah Kelantan,” katanya.
Menurutnya, untuk memperbesarkan lagi perniagaan, dia mula mengambil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 2012 sebanyak RM3,000.
“Jumlah itu meningkat dan sehingga kini sudah 20 kali saya membuat pinjaman dengan AIM. Saya akan tetap bersama AIM kerana mereka banyak membantu mengembangkan perniagaan kami, selain saya juga mahu membantu orang lain.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada AIM yang banyak membantu usahawan seperti saya,” katanya yang tinggal di Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat.
Kepada orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan di Pusat Bekam Al Jannah boleh hubungi 014-8303399 atau 012-3803061. – UTUSAN