SIK: Nilai kerugian terhadap 185 guni mineral disyaki unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) yang dicuri di Hutan Simpan Bukit Enggang dianggarkan boleh mencecah RM3.5 juta.
Sumber memaklumkan Utusan Malaysia, nilai tersebut hanya dianggarkan berdasarkan kategori REE yang paling rendah dari kesemua 17 unsur atau elemen bahan mineral tersebut.
“Bayangkan jika REE tersebut adalah dalam kategori yang paling berkualiti dari senarai 17 unsur bahan mineral tersebut, berapa pula harga keseluruhannya yang tidak mustahil sudah mencecah angka bilion sekiranya betul ia dikeluarkan sejak dua tahun lalu.
“Kita menganggarkan RM3.5 juta nilai rampasan itu berdasarkan kiraan paling rendah sahaja iaitu harga bagi setiap gramnya sekitar RM7 dan unsur REE yang paling berkualiti boleh mencecah sehingga RM1,200 setiap gram,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan negara mungkin sudah kerugian mencecah angka berbilion ringgit apabila hasil REE di hutan simpan terbabit dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu.
Berdasarkan semakan di laman web Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), 17 unsur REE tersebut termasuk Scandium, Yttrium, Lanthanum, Cerium, Praseodymium, Neodymium dan Promethium yang mempunyai pelbagai kegunaan.
Mineral tidak beradioaktif yang ditemukan di kawasan itu adalah sumber semula jadi bernilai tinggi. Ia boleh digunakan bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan barangan digital lain serta kereta elektrik, industri bateri, magnet berintensiti tinggi dan pembuatan kaca.
Tambah sumber itu, kawasan berpotensi di Hutan Simpan Bukit Enggang dianggarkan meliputi keluasan lebih 20,000 hektar dengan kuantiti hasil REE boleh mencecah sehingga 250,000 tan metrik.
“Kerajaan negeri sepatutnya memberi perhatian penuh terhadap kajian REE di negeri ini kerana ia sudah tentu dapat membantu meningkatkan hasil kekayaan Kedah dan berupaya mengeluarkan status negeri miskin bagi menambah baik taraf hidup rakyat.
“Sekiranya tidak berlaku kemalangan lori yang dipercayai membawa bahan mineral tersebut minggu lalu, sudah pasti kegiatan ini akan terus berleluasa walaupun kita dimaklumkan terdapat dua laporan sudah dibuat sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, semakan Utusan Malaysia mendapati dua laporan berkenaan dibuat pada 12 Julai lalu yang bimbang terhadap aktiviti mencurigakan berlaku di hutan simpan terbabit sejak sekian lama.
“Laporan polis sudah dibuat sebelum ini, begitu juga laporan kepada pejabat tanah dan galian (PTG) serta pejabat Menteri Besar, tetapi mereka seperti tidak kisah dengan apa yang berlaku sedangkan terang-terangan khazanah alam di bumi Kedah sedang dicuri,” kata sumber itu. – UTUSAN