Nasib Syed Saddiq diketahui esok - Utusan Malaysia

Nasib Syed Saddiq diketahui esok

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa bersubahat melakukan pecah amanah dana RM1 juta dan pengubahan wang haram. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana RM1 juta dan pengubahan wang haram, akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, esok.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid akan memutuskan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap penyandang kerusi Parlimen Muar itu.

Pihak pendakwaan menutup kes pada 27 September lalu selepas mengemukakan keterangan 30 saksi termasuk bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali.

Selain itu, ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz, 62 serta Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff, 69, turut memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan yang bermula pada 21 Jun lalu.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah antara lain diberitahu, wang RM1 juta yang dinyatakan dalam pertuduhan pecah amanah terhadap Syed Saddiq merupakan nilai terbesar yang pernah dikeluarkan daripada akaun milik Armada.

Wang tersebut dikeluarkan pada 6 Mac 2020 atas arahan tertuduh yang mahukan ia ‘dilupuskan’ selepas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berhubung kehilangan wang RM250,000 daripada peti besi di rumahnya.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam utama, Gobind Singh Deo mewakili pembelaan.

Syed Saddiq didakwa atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya