KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid), Muhammad Razin Che Mud, menyambut baik penglibatan bukan penyanyi nasyid dalam membawakan lagu berkonsepkan ketuhanan atau religi yang semakin banyak dihasilkan.
Kata anggota kumpulan Mestica itu, ia adalah usaha yang baik dalam memartabatkan naskhah atau lagu yang mengetengahkan konsep berkenaan.
“Tidak menjadi masalah bagi bukan penyanyi nasyid menyanyikan lagu-lagu religi atau ketuhanan, malah ia adalah inisiatif yang baik.
“Cuma, saya berharap usaha seperti ini dapat diteruskan dan mereka istiqamah dalam menyanyikan lagu seperti ini,” katanya pada pelancaran album Sahabat Selamanya di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Razin juga berharap agar kemenangan lagu Thank You Allah bagi kategori Lagu Nasyid Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-23 tidak dijadikan isu hanya kerana artis yang membawakan lagu tersebut bukan penyanyi nasyid.
“Perkara ini menjadi polemik dalam kalangan penggiat muzik nasyid dan kami ada membincangkan tentangnya dalam mesyuarat yang diadakan, baru-baru ini.
“Kami menyambut baik keputusan yang ditetapkan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan berharap isu ini tidak dibesar-besarkan.
“Pada saya, sebarang kekeliruan perlu dirujuk dan diajukan kepada RIM kerana mereka lebih memahami tujuan asal kategori ini diwujudkan.
“Bagaimanapun, kami mengalu-alukan segala perancangan yang baik oleh RIM. Terpulang, mahu pisahkan nasyid sebagai satu kategori lain atau kekalkan dalam kategori sedia ada, tidak menjadi masalah.
“Saya berharap perkara ini tidak dibesar-besarkan dan sama-sama kita melakukan yang terbaik untuk memajukan industri muzik nasyid tanah air,” tambahnya.
Kemenangan lagu tersebut dalam kategori berkenaan menimbulkan persoalan sebilangan besar penggiat muzik nasyid yang menganggap lagu tersebut tidak layak menang kerana tidak dibawakan penyanyi nasyid.