Najib individu pertama diberi kod nama akaun peribadi

Najib individu pertama diberi kod nama akaun peribadi

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan individu pertama diberi kod nama bagi akaun peribadi Ambank bertujuan melindungi maklumat dan memelihara sensitiviti akaun berkenaan.

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, 51, berkata, kod nama AmPrivate Banking-MR diberikan oleh pihak bank atas cadangan dan permohonan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Ujar saksi pendakwaan ke-41, Jho Low turut memohon agar akaun peribadi Najib diklasifikasikan di bawah `tahap kerahsiaan tertinggi’ yang mana bukan mudah untuk nama beliau didedahkan atau diakses oleh sistem akaun di mana-mana cawangan.

Ujar Joanna, beliau bertanya kepada  Bahagian Operasi Ambank sama ada pelanggan boleh mempunyai dua nama (untuk memasukkan kod nama).

“Sepanjang berurusan dengan pelanggan persendirian, ini kali pertama akaun individu menggunakan kod nama. Biasanya kod nama diberikan kepada akaun projek korporat tertentu.

“Berhubung pemilihan nama AmPrivate Banking – MR untuk akaun semasa 211-202-200969-4, saya masih ingat bahawa ini adalah permintaan dan cadangan Jho Low,” ujarnya.

Joanna berkata, beliau dimaklumkan oleh Cheah Tek Kuang yang ketika itu Pengarah Urusan Kumpulan Ambank bahawa perkara itu sudah dimaklumkan kepada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan utama, Joanna berkata beliau tidak pernah bertemu secara peribadi dengan Najib.

Beliau menjelaskan, segala urusan perbankan adalah melalui Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) 1MDB ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil dan Jho Low.

Joanna berkata, walaupun Nik Faisal dilantik sebagai pemegang mandat akaun, Najib masih pemegang akaun dan bertanggungjawab terhadap transaksi dalam akaunnya.

Terdahulu, Joanna menyatakan sekitar tahun 2011, Jho Low memaklumkan kepadanya bahawa Najib berminat membuka akaun di AmBank dan Tek Kuang akan bertemu bekas Perdana Menteri itu bagi menguruskannya.

Joanna memberikan keterangan terhadap Najib, 69 yang menghadapi pertuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 7 November ini.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN