MELAKA: Yayasan Angkasawan Negara yang diwakili Presidennya, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama Manipal University College Malaysia (MUCM).
Kerjasama itu bertujuan memperkasa dan menggalakkan bidang perubatan untuk generasi masa hadapan – seorang doktor dalam sebuah keluarga.
Naib Canselor MUCM, Profesor Dr. Patrick Kee Peng Kong berkata, pihak MUCM sentiasa menawarkan peluang pengajian dalam bidang perubatan serta membimbing dan memupuk generasi muda ke arah kerjaya cemerlang sebagai seorang profesion perubatan yang berjaya di Malaysia.
MUCM telah disenaraikan di bawah program penajaan pengajian Majlis Amanah Rakyat (MARA) – ‘Young Talent Development Programme (YTP)’ dan ‘Tertiary Education Sponsorship Programme (TESP)’.
Kolaborasi dan kerjasama dengan Yayasan Angkasawan Negara dapat merealisasikan harapan dan impian para ibu-bapa serta generasi muda dalam bakal bergelar doktor perubatan,
Dr. Sheikh Muszaphar yang juga alumni doktor perubatan, iaitu beliau tamat pengajian dari Kasturba Medical College, Manipal pada tahun 1997 berterima kasih kepada Manipal Education Group, kerana memberi peluang keemasan membina masa depan profesion perubatan di negara ini.
Majlis yang diadakan pada 8 September lalu menyaksikan proses menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Dr. Sheikh Muszaphar yang juga Presiden Yayasan Angkasawan Negara dengan Dr. Patrick mewakili MUCM.
Pihak MUCM yakin kerjasama dengan Dr. Sheikh Muszaphar dapat menginspirasi dan melakar laluan untuk mereka yang berhasrat dan bersedia dalam menghadapi kehidupan sebagai bakal doktor di MUCM. – UTUSAN